HomeUtamaRakyat digesa sahkan maklumat individu & isi rumah dalam sistem PADU mulai...

Rakyat digesa sahkan maklumat individu & isi rumah dalam sistem PADU mulai 2 Jan 2024 – Armizan

Read Time:2 Minute, 5 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Seluruh rakyat di negara ini digesa untuk mendaftar sekali gus membuat pengesahan maklumat profail individu dan isi rumah melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan dilancarkan pada 2 Januari 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk melaksanakan dasar subsidi bersasar yang akan hadir bersama jaminan bantuan sosial termasuk bantuan tunai subsidi bersasar.

“Dasar subsidi bersasar tidak bermaksud bahawa subsidi akan ditarik sepenuhnya. Sebaliknya ia melibatkan reformasi dalam pemberian subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.

“Teras kepada pelaksanaan dasar subsidi bersasar dan reformasi bantuan sosial adalah PADU.

“Justeru, saya menggesa semua rakyat untuk membuat pendaftaran sistem PADU yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 dan sekali gus membuat pengesahan maklumat profail individu dan isi rumah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Fun Hike Keluarga Samat 2023 di Bukit Bendera Papar, di sini, hari ini.

Armizan berkata, kerajaan akan membuka ruang selama tiga bulan sehingga 31 Mac 2024 untuk memberi ruang kepada rakyat membuat pengesahan maklumat dalam sistem PADU.

“Saya juga menggesa semua pihak memberikan kerjasama. Bukan sekadar agensi persekutuan, malah kerjasama daripada semua Kerajaan Negeri hingga ke peringkat daerah dan kampung amat diperlukan.

“Kerajaan juga akan membuka ruang pendaftaran secara online dan juga manual untuk membolehkan masyarakat di luar pedalaman tidak akan tercicir. Semua JPKK dan Ketua Kampung diminta memastikan komuniti di kawasan masing-masing tidak tercicir,” tegasnya.

Menurutnya, pihak KPDN komited untuk membantu kerajaan melaksanakan agenda subsidi bersasar dengan komitmen bahawa dasar ini akan hadir bersama jaminan bantuan sosial kepada rakyat yang memerlukan.

“Kita harap bantuan ini dapat bantu menangani masalah kos sara hidup rakyat. Ini adalah reformasi ekonomi yang tidak memberi subsidi secara pukal, tapi agenda ini juga akan datang bersama reformasi bantuan sosial supaya lebih adil.

“Bentuk dan jumlah bantuan sosial bukan hanya akan melibatkan aspek pendapatan, tetapi juga jumlah komitmen tanggungan.

“Ini penting untuk menangani isu berbangkit berkaitan kos sara hidup. Pertimbangan dan penentuan jumlah bantuan sosial ini akan berpandukan kepada data PADU,” jelasnya.

Ditanya mengenai risiko dan bimbang sistem PADU digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, Armizan berkata, kerajaan akan sentiasa meningkatkan tahap keselamatan sistem tersebut dari masa ke semasa.

“Sistem ini sudah wujud sedia ada dan ya ada risiko tetapi kerajaan sentiasa meningkatkan tahap keselamatan untuk sistem ini. Sistem ini tidak akan membabitkan dengan akaun bank, jadi jangan risau tentang scam, kecuali anda memilih untuk menekan link scam,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular