HomeUtamaPPNS buat laporan SPRM, pegawai NAFAS gagal lunas hutang lebih RM2 juta

PPNS buat laporan SPRM, pegawai NAFAS gagal lunas hutang lebih RM2 juta

Read Time:2 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegagalan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melunaskan hutang yang mencecah lebih RM2 juta.

Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Datuk Ng Loi Tect berkata, jumlah itu termasuk sewa gudang baja dan semua pembayaran yang dituntut PPNS berkaitan kerja pembekalan serta penghantaran baja kepada ahli pertubuhan itu di seluruh negeri.

Katanya, laporan yang dibuat PPNS itu bagi meminta SPRM menyiasat beberapa pegawai NAFAS yang disyaki ada kepentingan lain sehingga sengaja melengahkan proses pembayaran kepada PPNS yang menyebabkan tunggakan bayaran selama dua tahun.

Beliau berkata, laporan polis juga telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam soal pengurusan kontrak dan pembayaran hutang kepada PPNS.

“Kita membuat ketetapan untuk melaporkan kes ini kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan beberapa pegawai NAFAS yang kita tahu sengaja melengahkan proses pembayaran (hutang) kepada PPNS.

“Saya ingin tegaskan bahawa keperluan untuk NAFAS membayar sewa gudang dan hutang yang begitu lama tertunggak adalah sangat penting kerana ini untuk keperluan ahli PPN di Sabah yang merangkumi 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang bergantung kepada kita,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Pengarah PPNS, di sini, semalam.

Pada masa yang sama Loi Tect turut meminta kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri campur tangan supaya pihak NAFAS bertanggungjawab untuk menyelesaikan tuntutan PPNS, selain memastikan sebarang projek berkaitan peladang dan kepentingannya diutamakan dan diberikan kepada PPNS sebagai sebuah Pertubuhan yang menjaga kebajikan ahlinya di negeri ini.

“Kita meminta kepada kerajaan untuk melihat PPNS ini sebagai satu pertubuhan yang menjadi tempat bergantung ahli pertubuhan kita di Sabah, iaitu ada 26 Pertubuhan Peladang Kawasan semuanya. Jadi kita minta PPNS mendapat anugerah projek yang sebelum ini kita dapat tetapi kebelakangan ini tidak diberikan oleh NAFAS dan di permainkan oleh pegawai pegawai kanan NAFAS.

“Apa yang menyebabkan kita terpaksa menyebut perkara ini ialah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di Semenanjung mendapat anugerah projek, jadi kita minta Sabah sepatutnya diberikan layanan yang sama,” katanya.

Katanya, adalah tidak adil PPNS dipinggir atau dianaktirikan sedangkan NAFAS yang mahu organisasi PPNS ini menyertai mereka semasa melobi projek ini semasa NAFAS di Pengerusikan Oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Bukhari Mohd Sawi sebagai Pengurus Besar dengan dijanjikan pelbagai manfaat termasuk dilayan sebagai kawan yang sama seperti lain-lain PPN di Semenanjung.

Beliau mendakwa, apa yang berlaku ketika ini ialah PPNS tidak dilayan dengan baik, sedangkan apa yang diminta cuma untuk menerima layanan sama dengan apa diperolehi PPN yang lain.

“Sebab itu kita minta supaya perkara ini dilihat serius oleh kepimpinan kita di NAFAS dan kita juga minta kepada Perdana Menteri melihat kita sebagai rakan NAFAS yang sama dengan PPN di Semenanjung.

“Perhatian perlulah diberi sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sepatutnya kita di Sabah dan Sarawak mendapat layanan yang sama rata dengan rakan-rakan kita di Semenanjung,” katanya.

Pada sidang media itu, Loi Tect turut menyatakan sokongannya terhadap tuntutan PPNS menerusi kenyataan media pertubuhan itu bertarikh 30 Disember lalu berhubung sikap NAFAS yang tidak mengambil peduli masalah PPNS dan hutangnya di negeri ini.

Menerusi kenyataan itu, PPNS memberi amaran akan menjual semua baki simpanan baja milik pertubuhan itu di negeri ini bagi menampung bayaran sewaan gudang yang gagal dilunaskan NAFAS selepas tiada sebarang maklum balas berhubung hutang yang dituntut oleh PPNS.

Hasil jualan baja itu akan digunakan oleh PPNS untuk membayar semua tunggakan hutang kepada pemilik gudang serta bayaran untuk lain-lain kerja yang berkaitan di antara PPNS.

RELATED ARTICLES
Utama

Isu Pelantikan TYT Sabah: KEADILAN Sabah seru hormati perlembagaan, henti sebar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular