HomeUtamaJualan Agro Madani Catat Jualan Rm93.7 Juta Pada 2023

Jualan Agro Madani Catat Jualan Rm93.7 Juta Pada 2023

Read Time:1 Minute, 45 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Program Agro MADANI anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sepanjang tahun lepas mencatatkan nilai jualan RM93.7 juta dengan membabitkan penyertaan 74,800 usahawan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata program Jualan Agro MADANI dianjurkan sebanyak 5,608 sesi, iaitu melebihi sasaran 5,000 sesi dan berjaya menarik 2.9 juta pengunjung di sepanjang penganjuran program berkenaan.

“Program ini secara tidak langsung telah meningkatkan pendapatan pengeluar yang dapat menjual barangan atau hasil pengeluaran mereka terus kepada rakyat tanpa melalui orang tengah. 

“Impaknya kepada masyarakat umum, kita berjaya memberikan penjimatan harga barangan sebanyak RM27.8 juta kepada lebih kurang 11.6 juta isi rumah di seluruh negara,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Jualan Agro MADANI Mega di sini hari ini.

Arthur berkata susulan sambutan mengalakkan, kementerian meneruskan serta memperluaskan pelaksanaan program Jualan Agro MADANI kepada sasaran 5,000 sesi jualan menjelang Oktober 2024.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar berkata penganjuran program Jualan Agro MADANI Mega ini mampu menjadi platform pertemuan antara usahawan untuk memperkenalkan produk masing-masing terus kepada pemain industri. 

“Sekarang kita cuba untuk mempertemukan mereka iaitu pemain industri dengan usahawan-usahawan baharu yang lahir dan dibimbing oleh LPP, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), supaya mereka berpeluang untuk memasarkan produk mereka,” katanya.

Pada majlis itu turut berlangsung Majlis Pertukaran Nota Kerjasama antara LPP dengan Jabatan Penjara Negara berkenaan latihan kemahiran kerjaya dalam bidang pertanian.

Mahfuz berkata menerusi kerjasama itu, LPP menyediakan peruntukan kepada Jabatan Penjara Negara untuk menjalankan latihan, kemahiran dan tunjuk ajar mengenai sektor pertanian kepada banduan yang berada di penghujung tempoh tahanan.

“Kita telah mengadakan kerjasama ini di Labuan, Kuala Krai dan Perlis serta dalam perancangan empat penjara lain. Insya-Allah kita menggalakan program seperti ini supaya mereka dapat dibantu. Selepas ini kita juga akan mendapat kerjasama daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“…. kerjasama ini membolehkan mereka memperoleh sijil kemahiran selepas mengikuti latihan dan apabila memperoleh sijil ini, banduan yang masih muda berpeluang menyambung pengajian di peringkat Diploma Kemahiran Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya