HomeUtamaSabah pengeluar utama biji koko di Malaysia

Sabah pengeluar utama biji koko di Malaysia

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu: Sabah terus menjadi negeri pengeluar biji koko utama di Malaysia dengan keluasan tanaman 3,444 hektar, mewakili 57.5 peratus daripada jumlah keluasan tanaman koko negara, sehingga akhir tahun lalu.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, Projek Pemulihan Kebun Koko akan dilaksanakan Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada tahun ini bagi tujuan peningkatan pengeluaran komoditi itu di negeri ini.

“Bagi tujuan itu, sebanyak RM5 juta diperuntukan bagi memulihkan 1,344 hektar kawasan tanaman koko sedia ada di negeri ini yang diusahakan oleh 2,084 orang petani.

“Program ini adalah untuk meningkatkan hasil koko melalui insentif input pertanian, serta menerapkan aplikasi teknologi terkini dalam pengurusan kebun koko,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat LKM, di sini.

Hadir sama Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah; Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada, Cheah Chee Fong.

Selain pengeluaran biji koko, Foong Hin berkata LKM juga giat mengembangkan industri hiliran koko di Sabah dengan sebanyak empat syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko serta 32 usahawan coklat tempatan beroperasi setakat ini.

Bagaimanapun, nilai pengeluaran industri hiliran koko oleh usahawan di Sabah masih rendah iaitu hanya RM792,351 pada 2022, manakala RM851,928 bagi tempoh antara Januari hingga September 2023.

“Memandangkan nilai jualan industri hiliran masih rendah, kita berharap usaha berterusan LKM dapat membantu meningkatkan lagi hasil jualan usahawan dan menambah bilangan pengusaha koko di Malaysia melalui dasar dan projek yang dirancang,” katanya.

Foong Hin berkata industri koko mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bermula dari sektor huluan ke hiliran sejajar kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport utama produk koko dunia. 

Katanya, koko juga adalah antara tanaman komoditi makanan yang menyumbang kepada pendapatan eksport negara. 

“Pada 2022, perolehan daripada eksport koko adalah sebanyak RM7.82 bilion, manakala setakat Januari hingga November 2023, perolehan eksport koko adalah dianggarkan sebanyak RM7.4 bilion. 

“Namun begitu, imbangan dagangan bagi industri koko pada 2022 hanya mencatat RM1.72 bilion dan RM20 juta pada antara Januari hingga November tahun lalu 2023 disebabkan kebergantungan import biji koko kering.

“Maka, adalah menjadi harapan saya untuk kita semua sama-sama membangunkan industri koko terutama di Sabah dengan bersungguh-sungguh supaya kita dapat meningkatkan imbangan dagangan koko pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO LKM  

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular