HomeUtamaPolis tangkap suspek terlibat lebih 30 kes pecah rumah sekitar KK

Polis tangkap suspek terlibat lebih 30 kes pecah rumah sekitar KK

Read Time:2 Minute, 54 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis berjaya menangkap seorang suspek lelaki dipercayai terlibat lebih 30 kes pecah rumah sekitar Kota Kinabalu melibatkan kerugian berjumlah lebih kurang RM119, 965.00.

Suspek seorang penganggur warga tempatan berusia 20 tahun itu ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat, Jalan Tuaran dekat sini pada 6 Januari 2024, jam 11.10 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek mengaku telah melakukan beberapa kes pecah rumah, kedai dan pejabat di sekitar Kota Kinabalu.

“Hasil soal siasat suspek yang merupakan seorang penganggur ini telah mengaku terlibat melakukan 29 kes pecah rumah dan premis perniagaan di sekitar daerah Kota Kinabalu terutamanya di kawasan Luyang, Kepayan, Likas, Tanjung Aru, Inanam dan satu kes di daerah Penampang.

“Suspek aktif melakukan kegiatan pecah rumah secara solo sejak tahun 2023 dan kes terakhir berlaku di sebuah premis perniagaan di Likas pada 31 Disember 2023 yang melibatkan kerugian lebih kurang RM7000.00,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zaidi lagi, walaupun suspek mengaku melakukan jenayah secara solo tetapi pihak polis masih menjalankan siasatan lebih teliti untuk kenal pasti jika ada rakan jenayahnya terlibat.

Mohd Zaidi (kanan) menunjukkan sebuah peti besi seberat 200kg yang telah dibuang oleh suspek ke dalam kolam di Bukit Padang.

“Suspek telah membuang satu peti besi anggaran berat 200 kilogram ke dalam tasik, jadi kalau ikut dari segi berat peti besi tersebut, tidak logik dia melakukan jenayah itu secara solo, sebab itu kita sedang menyiasat.

“Ada beberapa insiden di mana suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) tetapi kita gagal mengenalpasti suspek sebab pakai topi dan pelitup muka.

“Walaubagaimanapun, hasil kecekapan pegawai penyiasat menjumpai lima cap jari dalam kes pecah pejabat swasta di bangunan kompleks badan sukarelawan di Likas , dan suspek telah dikenalpasti berdasarkan cap jari yang sempurna, dan kita track down butir-butir peribadi dan tempat tinggal suspek, dan membuat serbuan di Taman Keramat,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, suspek juga memberitahu barang-barang hasil pecah rumah kebanyakan dijual secara rawak kepada pengedar dadah iaitu tempat dia mendapatkan bekalan dadah untuk kegunaan peribadi. Ada juga hasil pecah rumah dibuang di dalam kolam Bukit Padang.

“Manakala hasil wang tunai pecah rumah digunakan oleh suspek untuk keperluan harian, berbelanja dengan sahabat, melanggan pelacur, dan mendapatkan dadah selain untuk kegunaan sendiri dan rakan-rakan.

“Modus operandi suspek iaitu menggunakan alat kuku kambing pecah masuk pintu dan keluar ikut pintu yang sama,” katanya.

Menurut Mohd Zaidi lagi, tangkapan suspek ini merupakan satu kejayaan besar pihak Polis Kota Kinabalu dan sekiranya penjenayah ini gagal dikesan, dia akan terus membuat akitivit-aktiviti menggusarkan penduduk di sekitar Kota Kinabalu.

Katanya, anggaran kerugian yang dialami oleh kesemua mangsa bagi keseluruhan kes iaitu 30 kes melibatkan tiga kes pecah rumah, 26 kes pecah kedai dan satu kes pecah pejabat berjumlah lebih kurang RM119, 965.00 sepanjang kegiatan jenayah yang dilakukan oleh suspek sejak tahun 2023 sehingga Januari 2024.

“Suspek yang positif dadah jenis methapetamine itu juga memiliki 11 kes kesalahan jenayah lampau melibatkan kes curi, pecah rumah dan melupuskan barang curi,” ujarnya.

Dalam serbuan itu, beliau berkata, pihak polis turut merampas beberapa barang hasil aktiviti pecah rumah termasuk generator grinder, set drill, dua set telefon bimbit, empat buah tablet, tiga beg galas berjenama, kad kredit dan peralatan pecah rumah.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 14 Jan ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular