HomeSukan21 pasukan bakal bersaing merebut Piala SAFA 2024 bermula Jumaat ini

21 pasukan bakal bersaing merebut Piala SAFA 2024 bermula Jumaat ini

Read Time:1 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu: Sebanyak 21 pasukan bola sepak daerah bakal bersaing dalam Kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Kejohanan yang bermula diperingkat zon itu akan diadakan di enam daerah berasingan secara serentak iaitu di Kota Kinabalu, Kinabatangan, Beaufort, Kunak, Keningau dan Kota Marudu.

Juara dan naib juara bagi setiap zon akan meneruskan saingan ke peringkat ‘grandfinal’ pada 25 hingga 27 Januari depan dengan menawarkan hadiah keseluruhan mencecah RM40,000 beserta piala iringan dan medal.

Setiausaha Agungnya, Shamsuddin Mohd Shah berkata, kejohanan ini adalah hasil inisiatif Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang diketuai Naib Presiden SAFA, Datuk Seri Dr Ruddy Awah.

Katanya, matlamat penganjuran kejohanan ini adalah bagi mencungkil bakat baru untuk diserapkan ke pasukan Sabah FC bagi menghadapi kejohanan seperti Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.

“Keseluruhan kejohanan ini akan melibatkan seramai 525 pemain membabitkan tiga peringkat umur iaitu bawah 23 tahun, 20 tahun dan 18 tahun.

“Kita berharap lebih ramai bakat-bakat berpotensi dapat dikesan dan seterusnya diserapkan sebagai pemain profesional selaras dengan tujuan utama penganjuran kejohanan ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang kejohanan ini, pihaknya turut melantik barisan jurulatih berpengalaman sebagai skuad pemantau bakat.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertindak sebagai penaja bagi menjayakan kejohanan kali ini.

Katanya, dua syarikat GLC iaitu Jetama Sdn Bhd dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd membantu dengan menjadi penyumbang utama kepada penganjuran kejohanan ini

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada GLC kerana sudi membantu memudahkan pelaksanaan kejohanan bola sepak Piala SAFA kali ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah luluskan peruntukan RM12.24 juta naik taraf kemudahan Stadium Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular