HomeIsu tempatanPemasyhuran Kinabalu Geopark sebagai UNESCO Global Geopark Sabtu ini

Pemasyhuran Kinabalu Geopark sebagai UNESCO Global Geopark Sabtu ini

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Pengiktirafan Kinabalu UNESCO Global Geopark yang dianugerahkan melalui Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) pada Mei tahun lalu dijangka akan dimasyhurkan secara rasmi Sabtu ini.

Majlis pemasyuhuran itu dijangka akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Dataran Kota Belud.

Global Geopark yang merangkui tiga daerah di negeri Sabah iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau adalah tambahan kepada dua pengiktirafan terdahulu iaitu Tapak Warisan Dunia Kinabalu dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker.

Taman-Taman Sabah (TTS) dalam satu kenyataan berkata, dengan pemasyhuran itu, maka lengkaplah perolehan Sabah ke atas ‘Mahkota Tiga Serangkai UNESCO’ iaitu tapak-tapak berprestij berkelas dunia.

“Melalui pengiktirafan ini, maka Sabah khususnya dan Malaysia amnya telah mengikuti jejak Pulau Jeju di Korea Selatan dan Shennongjia di China sebagai hanya tiga tempat di mukabumi ini yang mendapat pengiktirafan ‘Mahkota Tiga Serangkai’ daripada badan dunia UNESCO.

“Pada hari yang bersejarah ini juga, TTS  akan turut melancarkan sambutan ulangtahun ke-60 atau Sambutan Jubli Intan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah yang bermula dari sebuah agensi kecil  sehingga menjadi antara peneraju dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi terkemuka.

“Selain itu, TTS juga menjadi panduan serta rujukan banyak pihak bukan sahaja di dalam Malaysia, malahan di seluruh dunia,” menurut kenyataan itu di sini.

Majlis yang akan diadakan selama dua hari bermula Jumaat ini akan diisi dengan pelbagai pengisian program termasuklah pameran, acara hiburan dan persembahan pentas oleh artis-artis tempatan serta cabutan tiket-tiket bertuah dengan pelbagai hadiah menarik yang disediakan oleh pihak penganjur.

Semua warga Sabah amnya dan Kota Belud khususnya, dijemput bersama-sama meraikan acara penuh bersejarah ini pada tarikh-tarikh tersebut. 

Jika ada sebarang pertanyaan mengenai perkara di atas, boleh berhubung terus dengan  Komunikasi Korporat Taman-Taman Sabah di talian 088-523531/572 atau emel ke [email protected]. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular