Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat menjalankan Knowledge Transfer Programme (KTP) dalam memenuhi fungsinya untuk menyebar luas ilmu kepada masyarakat.
Terbaharu UMS melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) telah menjalankan KTP melalui program Pendidikan Literasi Politik dan Kewarganegaraan Demokratik kepada para pelajar North Borneo University College (NBUC).
Dekan PPIB Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng selaku Ketua Projek berkata penganjuran program itu telah meningkatkan tahap literasi politik dan kesedaran kewarganegaraan demokratik kepada peserta program yang merupakan golongan belia.
“Program yang bermula pada bulan September 2023 ini dilaksanakan melalui modul-modul latihan dan penerapan bersiri mengenai pengetahuan demokrasi dan perlembagaan berdasarkan kepada kuliah, latihan dan penilaian dalam kalangan pelajar NBUC.
“Pihak penganjur berharap modul dan program yang julung kali dilaksanakan ini dapat diteruskan dalam meningkatkan tahap kesedaran dan literasi politik kalangan belia di Sabah sebagai salah satu hasil penerapan falsafah bernegara Malaysia.
“Ini juga sekali gus mendukung salah satu fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 iaitu memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu,” jelasnya.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor Kanan NBUC, Prof. Madya Dr. Steward G. Stephen berkata melalui pelaksanaan program tersebut, para peserta dari Fakulti Keselamatan dan Governan NBUC telah mendapat manfaat secara langsung dalam mendalami pemahaman mengenai literasi politik dan kewarganegaraan demokratik.
Dalam pada itu, salah seorang peserta program, End Andron Rizaly berkata melalui program ini, golongan belia dan pelajar dapat meningkatkan kefahaman mengenai politik, demokrasi dan perlembagaan Persekutuan.
“Saya harapkan program ini akan diteruskan agar kesedaran terhadap golongan belia dan juga pelajar dapat ditingkatkan dan diteruskan lagi”, katanya.
Majlis penutupan program ini turut meraikan penghargaan kepada para peserta melalui penyerahan sijil penyertaan dan beberapa kategori istimewa seperti peserta paling ceria, peserta lelaki terbaik dan peserta wanita terbaik.
Program tersebut turut disertai oleh ahli-ahli akademik UMS yang berperanan sebagai penceramah dan fasilitator antaranya Prof. Madya Dr. Anantha Raman Govindasamy, Prof. Madya Dr. Mohd Azri Ibrahim, Dr. Kavitha Ganesan dan Dr. Shaffarullah Abdul Rahman.
Selain itu turut serta ialah Dr. Budi Anto Mohd Tamring, Dr. Amy Azuan Abdullah, Dr. Mohd Hatib Ismail dan Mohammad Aqmal Hafidz Musa.