HomeEkonomiTEKUN sasar RM84.5 juta bantu 4,400 usahawan informal dan mikro di Sabah

TEKUN sasar RM84.5 juta bantu 4,400 usahawan informal dan mikro di Sabah

Read Time:1 Minute, 42 Second

Penampang : TEKUN Nasional mensasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM84.5 juta kepada 4,400 usahawan informal dan mikro di Sabah, tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi usahawan di negeri ini.

Katanya, pembiayaan RM84.5 juta itu termasuk RM2.5 juta yang disasarkan kepada 500 usahawan yang berniaga di Pasar Tamu’.

“Saya berharap dengan pembukaan cawangan TEKUN Cawangan Penampang akan melebarkan perkhidmatan TEKUN kepada usahawan-usahawan di daerah ini.

“TEKUN juga akan membuka pejabat cawangan di daerah ataupun kawasan Parlimen Kimanis pada tahun ini sebagai usaha berterusan kita membantu usahawan-usahawan di negara ini untuk terlibat dalam gerakan keusahawanan dan mendapat perkhidmatan terbaik daripada TEKUN melalui program-program pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Penampang, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, secara keseluruhannya TEKUN mempunyai pejabat fizikal berjumlah 24 pejabat di Sabah.

“Saya pasti pembukaan pejabat TEKUN di Penampang akan memudahkan para usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi. Usahawan tidak perlu bersusah payah ke Kota Kinabalu bagi sebarang urusan. Ia juga menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit.

“Ini merupakan inisiatif penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan dan saya yakin pada tahun ini, TEKUN Nasional akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatannya kepada masyarakat terutama usahawan informal dan mikro di seluruh negara,” katanya.

Sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga Disember 2023, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 573,013 usahawan yang bernilai RM9.1 billion di seluruh negara.

Manakala bagi Sabah pula, TEKUN Nasional menyalurkan RM1.01 bilion kepada 62,398 usahawan bagi tempoh yang sama melalui 24 pejabat TEKUN Cawangan.

Ewon berkata, TEKUN Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan informal dan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan.

Pada majlis itu Ewon menyampaikan skim pembiayaan Tekun sejumlah RM250,000 kepada sembilan orang usahawan yang mengusahakan pelbagai jenis perniagaan termasuk gerai makanan, agensi pelancongan, perkhidmatan jahitan dan jualan pakaian tudung.

Selain itu TEKUN turut menyampaikan sumbangan CSR kepada 50 murid sekolah rendah dari SK Moyog dan SK Kipovo. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

RM7 juta disediakan untuk fasa pertama naiktaraf 38 Tamu Desa di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular