Putatan : Gerakan untuk menubuhkan koperasi perlu terus diperhebatkan lagi khususnya di negeri ini kerana ia mampu menjadi platform bagi menyelesaikan keperluan rakyat di negara ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, Kerajaan Sabah juga sentiasa berusaha untuk mencukupi keperluan rakyat di negeri ini.
Katanya, keprihatinan kerajaan negeri dapat diterjemahkan apabila Belanjawan 2024 yang dibentangkan dengan tema Sabah Teguh, Rakyat Terbela menyaksikan peningkatan peruntukan sebanyak RM563 juta dari RM5.138 Bilion tahun lalu kepada RM5.701 Bilion tahun ini.
“Antara perkara yang diberi perhatian melalui belanjawan ini termasuklah peningkatan kualiti taraf hidup rakyat di negeri ini.
“Saya melihat salah satu caranya adalah memperkukuhkan lagi pembangunan koperasi di negeri ini kerana ianya terbukti sebagai wadah bantu diri yang berkesan dan cukup menyeluruh mencakupi setiap sudut kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kembara Jelajah Borneo (KJB) Sabah di sini semalam.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan yakin koperasi di Sabah mampu untuk bergerak lebih jauh dalam pasaran terbuka khususnya dengan kewujudan badan puncak koperasi negara iaitu Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).
Katanya, ANGKASA juga bergerak aktif bukan sahaja di dalam negara malah di pentas antarabangsa.
“Dalam bahasa mudahnya ANGKASA ini sebagai penghubung dan pemudahcara untuk koperasi meluaskan pasarannya di peringkat global.
“Peluang sebegini seharusnya direbut oleh koperasi di negeri Sabah. Apatah lagi tahun ini, perdagangan luar dijangka pulih dengan eksport dan import barangan dijangka meningkat semula.
“Saya amat berharap ANGKASA dapat memainkan peranannya dalam membuka lebih banyak peluang kepada koperasi untuk bergiat aktif dalam pasaran antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut berharap koperasi melalui ANGKASA dapat menjalankan lebih banyak kerjasama strategik bersama kerajaan negeri Sabah.
Katanya, ini termasuk agensinya dan juga pemain industri supaya ianya mampu untuk membina ekosistem ekonomi yang dipelopori oleh sektor ini.
“Saya difahamkan juga ANGKASA telah menjalankan beberapa projek dengan Jabatan Pertanian, Veterinar dan lain – lain bagi melihat kepada peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pihak kerajaan dan juga koperasi,” katanya. – SABAH MEDIA