HomeUtamaJANS laksana Skim Vendor, elak berlaku ketirisan air

JANS laksana Skim Vendor, elak berlaku ketirisan air

Read Time:1 Minute, 19 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan melaksanakan Skim Vendor bagi tujuan membekal air secara sah kepada pengguna yang dikenal pasti di negeri ini khususnya di kawasan setinggan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, inisiatif itu adalah antara kaedah yang dilaksanakan JANS bagi meminimakan kegiatan sambungan mencuri air selain akan terus melaksanakan operasi pemantauan.

“Operasi pemantauan (bagi memotong sambungan paip haram) akan dilakukan secara berterusan selain kaedah untuk kita meminimakan kegiatan sambungan curi air ini ialah kita akan melaksanakan apa yang dipanggil sebagai ‘Vendor Skim’

“Dengan adanya kaedah ini, kita akan mengenal pasti kawasan yang boleh kita bekalkan air secara sah. Dengan kaedah ini, kita akan dapat memungut bayaran air dalam masa sama, kita dapat meminimakan punca-punca kebocoran khususnya sambungan paip haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Piala Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) 2024 di Stadium Likas malam tadi.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kaedah itu kini sedang dalam pelaksanaan.

Katanya, pemasangan meter akan turut dipasang selain meletakkan tangki statik serta pemasangan meter pukal.

“Bagi tujuan ini kita akan melantik satu jawatankuasa bagi memungut hasil air yang dibekalkan. Air adalah keperluan. Mungkin dari sudut kekangan untuk mendapatkan meter menjadikan kegiatan menyambung paip secara haram itu berlaku,” katanya.

Terdahulu, Shahelmey menerusi hantaran di Facebooknya beberapa hari lalu menyatakan pihak JANS telah melakukan pemotongan beberapa sambungan haram paip air di sekitar kawasan Sepanggar.

Katanya, pemotongan itu merupakan antara usaha berterusan pihak JANS bagi menurunkan kadar air tidak berhasil yang hilang (dicuri) dari sistem agihan bekalan air di sekitar Kota Kinabalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Portal SSMJ, Pelan Strategik SMJ 2023-2025 dilancar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular