HomeUtamaHazani dilantik KP pertama MCBA

Hazani dilantik KP pertama MCBA

Read Time:2 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan itu berkuat kuasa mulai 31 Januari 2024.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

“Sehubungan dengan itu saya mengucapkan setinggi-tinggi 

tahniah kepada Datuk Seri Hazani  Ghazali di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah MCBA berkuat kuasa mulai 31 Januari 2024,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saifuddin berkata, penubuhan MCBA adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Januari lalu dan pengoperasian MCBA akan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, MCBA merupakan agensi Kerajaan barisan hadapan di pintu- pintu masuk negara termasuk pelabuhan dan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan dan pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif di pintu masuk darat, laut dan udara termasuk pelabuhan.     

” Secara umumnya MCBA berperanan menguatkuasa undang-undang mengawal kebolehterimaan (keluar/masuk orang, barangan, kenderaan dan kargo di pintu masuk negara.

“Selain itu, pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasa tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan  di pintu masuk negara, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguatkuasa dalam mengawal dan melaksanakan pemeriksaan antara lain terhadap orang, barang, kenderaan,  binatang  dan tumbuhan,” katanya.

Tambahnya, MCBA akan diketuai oleh seorang Ketua Pengarah yang akan bertanggungjawab memastikan agensi berjaya mencapai visi, misi dan objektif menerusi pelaksanaan fungsi berdasarkan Akta Tubuh MCBA serta dasar Kerajaan berkaitan. 

“Bagi tujuan tersebut, Rang Undang-Undang MCBA dijangka dibentangkan dalam Sesi Parlimen pada bulan Mac 2024 kelak.

“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Datuk Seri Hazani Ghazali akan memacu kecemerlangan agensi baharu ini sebagai sebuah agensi Kerajaan barisan hadapan yang bertanggungjawab memastikan matlamat dan  agenda nasional dalam memperkasa kecekapan penyampaian perkhidmatan, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara,” katanya.

Terdahulu,  Hazani mula berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 1987 dan telah diberi kepercayaan melaksanakan penugasan operasi-operasi khas mahupun sulit bagi membanteras kegiatan jenayah, penyeludupan, rompakan dan lain-lain aktiviti  jenayah  termasuk mengetuai operasi serbuan untuk memberkas pengganas.

Beliau juga banyak menumpaskan elemen dan cubaan pencerobohan bersenjata sewaktu beliau ditugaskan sebagai Assistan Komissioner Polis (ACP), Bahagian Pasukan Khas di kawasan Pantai Timur Sabah sehinggalah diamanahkan tanggungjawab sebagai Komander Eastern Command di ESSCOM atas kecemerlangan dan komitmen beliau dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada tahun 2020.

Seterusnya, mulai tahun 2021 kepimpinan dan kewibawaan beliau dalam menerajui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM sebagai  Pengarah  bukan  sahaja  terbukti  di  dalam Negara malah  mempunyai  hubungan  yang  baik  bersama  negara- negara luar. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kaamatan wadah promosi perpaduan sosial, jambatan persefahaman – Dr. Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular