Matunggong : Lima teras utama akan diberi penekanan penting dalam membangunkan pelbagai aspek khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong Datuk Julita Mojungki berkata, ia termasuklah pendidikan; pembangunan infrastuktur; ekonomi; pelancongan dan sosial masyarakat setempat.
“Lima teras utama akan saya beri penekanan bagi membangunkan pelbagai aspek di kawasan DUN Matunggong. Ia termasuklah pendidikan kepada anak-anak muda yang menjadi kunci utama bagi keluar dari garis kemiskinan selain mahu terus maju.
“Selain itu, kita juga mahu berusaha untuk memperbaiki dan membangunkan infrastuktur seperti jalan raya, air dan perumahan yang dilaksanakan bersama Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan penanaman ubi kayu di daerah Matunggong di sini baru-baru ini.
Julita yang juga Pembantu Menteri Kewangan 1 berkata, selain itu, pihaknya juga mahu terus membangunkan sektor ekonomi menerusi pertanian berikutan lokasi di kawasan berkenaan sesuai bagi penanaman pokok kelapa, pisang saba, ubi kayu dan manga.
Katanya, daerah yang turut terkenal dengan sektor pelancongan khususnya menerusi hasil kraftangan juga akan turut diberi perhatian.
“Sektor pelancongan yang mempromosikan hasil kraftangan yang jarang dilihat di daerah-daerah lain seperti rumah panjang dan pelbagai keunikan yang terdapat di Matunggong akan terus kita beri perhatian utama,” katanya. – SABAH MEDIA