HomeUtamaBapa ugut guru didakwa di Mahkamah Majistret hari ini

Bapa ugut guru didakwa di Mahkamah Majistret hari ini

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Seorang bapa yang mengugut guru dalam kejadian anaknya tertangkap merokok di kawasan salah sebuah sekolah menengah di sini, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh Daniel Dean Wong Kok Ching, 49, didakwa atas dua pertuduhan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun Daniel yang juga ejen hartanah mengaku tidak bersalah di hadapan majistret Stephanie Sherron Abbie.

Menurut pertuduhan pertama, Daniel didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut secara lisan seorang guru lelaki berusia 40 tahun di perkarangan gelanggang bola keranjang sekolah pada 29 Jan, jam 9.30 pagi.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi guru lelaki berusia 40 tahun pada masa dan tempat yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Azreen Yas Mohamad Ramli dan Rustam Sanip.

Wong diwakili Peguam Lim Chun Yuan dan Jo Anne Jameson.

Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.

Anak lelaki tertuduh turut hadir bersama keluarganya pada pendakwaan itu.

Baru-baru ini, tular di media sosial video tertuduh dan anak lelakinya bersemuka dengan guru sekolah selepas anaknya tertangkap merokok di dalam tandas sekolah.

Dalam klip video tersebut, tertuduh dilihat telah mengeluarkan kata-kata ugutan dan menyebabkan kecederaan ke atas guru tersebut.

Pelajar Tingkatan Lima yang sebelum ini dibuang sekolah dibenarkan untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun pelajar itu ditangkap merokok pada Isnin (29 Jan) yang membawa kepada kejadian dan penahanan tertuduh. Bagaimanapun anak lelaki tertuduh itu tidak ditahan.

Hukuman bagi ugutan jenayah memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

RELATED ARTICLES
Utama

SSMJ kerjasama dengan agensi Kerajaan pastikan miskin tegar di Sabah dinoktahkan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular