HomeIsu tempatanBot bawa barang kawalan tanpa permit ditahan

Bot bawa barang kawalan tanpa permit ditahan

Read Time:1 Minute, 22 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot penumpang yang didapati membawa barang-barang kawalan tanpa permit di perairan Tawau di sini malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot itu ditahan dalam operasi yang dijalankan di kedudukan 1.7 batu nautika barat daya Sg.Logpond dan dipercayai menuju ke Pulau Sebatik kira-kira jam 8.30 malam.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot terbabit berdaftar atas kelas penumpang namun digunakan untuk memuat barang-barang.

“Bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong lelaki warga tempatan bersama seorang kru lelaki warga Indonesia, keduanya berumur 67 tahun.

“Selain itu, bot itu turut membawa barang-barang kawalan termasuk muatan 29 kotak minyak masak sebanyak 493 kilogram dan 20 pek gula pasir berjumlah 480 kilogram, bot tersebut juga didapati gagal mengisytihar permit berkaitan barangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, bot serta dua kru terbabit diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes tersebut telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat dibawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (JPDS) dan Akta Kastam 1967 akibat salah guna lesen dan membawa barang-barang kawalan tanpa permit.

Tambahnya lagi, nilai rampasan termasuk bot, enjin dan muatan dianggarkan lebih RM30,000.

“Maritim Malaysia juga akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan komuniti setempat mematuhi peruntukan undang-undang di zon maritim negara.

“Orang ramai boleh membuat aduan kecemasan dan menyalurkan maklumat jenayah di perairan Tawau ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,”katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Cubaan tangkap ikan guna bahan letupan berjaya digagalkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular