HomeUtamaSarjan mengaku tidak bersalah terima rasuah RM2,000

Sarjan mengaku tidak bersalah terima rasuah RM2,000

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas di sini hari ini, atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengedaran dadah yang dijalankan oleh seorang individu pada tahun 2021 di Daerah Kudat.

Zakaria Mohd Jasni, 40, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Jason Juga.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, hukuman di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Menurut fakta pertuduhan, pada 18 Jun 2021 jam 12.20 petang bertempat di Fook Soon Seafood Product Sdn Bhd, di dalam daerah Kudat, tertuduh Zakaria sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia, iaitu Sarjan di Jabatan Siasatan Narkotik, Polis DiRaja Malaysia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, secara rasuah cuba untuk memperoleh suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM 2,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik individu lain sebagai balasan untuk tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal ehwalnya iaitu tidak mengambil tindakan ke atas pengedaran dadah yang dijalankan oleh seorang individu di daerah Kudat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.00 dengan deposit RM3,000.00 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan bahawa tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan diarahkan tidak menganggu saksi. Manakala pasport antarabangsanya perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 4 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

RELATED ARTICLES
Utama

Bagaikan mimpi, penoreh getah kini jutawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular