HomeUtamaKetua Menteri luang masa beramah mesra dengan rakyat di Foh Sang

Ketua Menteri luang masa beramah mesra dengan rakyat di Foh Sang

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meluangkan masa untuk bertemu dan bersalaman dengan orang ramai di Pasar Malam Tahun Baru Cina Foh Sang pada Khamis malam.

Beliau diiringi Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe, Timbalan Menteri Komoditi dan Perladangan Datuk Chan Foong Hin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Tan Lee Fatt, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong serta pemimpin masyarakat.

Hajiji (tiga kiri) duduk di salah satu kedai kopi di Foh Sang sambil beramah mesra dengan orang ramai.

Selepas melawat gerai-gerai jualan di pasar malam itu, Hajiji turut singgah dan duduk di salah satu kedai kopi di situ sambil meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai yang berada di sekeliling beliau.

Terdahulu, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada orang ramai dan berharap tahun Naga ini akan membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat di negara ini.

Lebih 5,000 masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama hadir memeriahkan pasar malam itu.

Selain terdapat lebih 100 gerai jualan pelbagai jenis makanan, pengunjung juga disajikan dengan persembahan tarian naga, singa dan unicorn serta persembahan nyanyian oleh artis tempatan Sabah.

Sementara itu, pengunjung Diana Ahmad, 40, bersama suaminya yang juga seorang berketurunan Cina, Herbert Lai, 40, meluangkan masa membawa anak-anak mereka mengunjungi pasar malam tersebut.

Diana bersama suami Herbert Lai dan anak-anak mereka di Pasar Malam Tahun Baru Cina Foh Sang.

Herbert berkata, walaupun beliau telah memeluk agama Islam kerana berkahwin dengan isterinya tetapi beliau dan isterinya tetap menghormati adat dan budaya keluarganya.

“Walaupun saya sudah memeluk agama Islam tetapi saya dan isteri serta anak-anak tetap menghormati adat dan budaya keluarga kami masing-masing malah meraikan bersama-sama perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemu Sabah Madia hari ini.

Menurut Diana, adalah perkara biasa rakyat di Sabah meraikan bersama-sama semua perayaan yang terdapat di negeri ini.

“Kita di Sabah sudah biasa, negeri ini ada pelbagai suku kaum, agama dan budaya, kita saling menghormati antara sesama masyarakat di sini, jadi saya dan suami tidak kekok dengan keadaan ini selepas mendirikan rumahtangga,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular