Kota Kinabalu: Dua undang-undang kecil baharu bakal dikuatkuasakan untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekali gus meningkatkan hasil PBT di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, undang-undang tersebut adalah Undang-undang Kecil Penubuhan Makanan Seragam 2022 dan Undang-undang Kecil Seragam (Pelesenan Penggunaan Premis Untuk Perdagangan, Perniagaan, Industri dan Profesion) 2022.
“Kedua-dua undang-undang kecil ini akan melesenkan hampir 90 peratus perniagaan yang dijalankan di daerah masing-masing.
“Dijangka pendapatan PBT akan dapat ditingkatkan dengan penguatkuasaan sepenuhnya undang-undang kecil baharu ini nanti. Ini adalah penting bagi memastikan kelangsungan pengoperasian semua PBT di Sabah,” katanya.
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pihaknya bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan dengan usaha semua PBT telah menerbitkan Garis Panduan Permohonan Lesen di bawah Undang-Undang Kecil PBT bagi menjamin kelancaran proses pengeluaran lesen.
“Diharap garis panduan ini dapat dijadikan sumber rujukan dalam usaha mempercepatkan lagi pengeluaran lesen di daerah nanti.
“Dalam era digital pada masa kini, penggunaan sistem teknologi perlu dimanfaatkan sebagai usaha untuk mempercepat dan meningkatkan kadar produktiviti dalam konteks pengeluaran lesen kepada golongan peniaga.
“Kementerian juga berharap penggunaan Garis Panduan ini akan dapat mengurangkan jumlah hari pengeluaran lesen selain meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengeluaran lesen oleh semua PBT,” katanya ketika berucap melancarkan buku berkenaan di sini, semalam.
Mengenai Bengkel Pemakaian Undang-Undang Kecil Baharu dan Taklimat Garis Panduan yang diadakan selama dua hari sejak semalam, Joachim berharap semua peserta dapat memanfaatkan semua informasi dan juga maklumat yang dikongsi oleh para pegawai Kementerian.
“Walau bagaimanapun, kami di kementerian ini sentiasa terbuka untuk sesi perbincangan dalam menambaik lagi proses sedia ada.
“Garis Panduan ini is a living document yang mana kita boleh melaksanakan perubahan dari semasa ke semasa. Penambahbaikan peraturan sedia ada boleh dibuat berdasarkan peredaran semasa yang boleh membawa kepada peningkatan produktiviti organisasi,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada MPC atas inisiatif bersama Kementerian dalam menghasilkan Garis Panduan yang akan diguna pakai oleh semua PBT serta kepada team Kementerian, Pejabat Peguam Besar Negeri, Pegawai Undang-Undang Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Perbandaran Tawau dan semua PBT yang terlibat dalam penyediaan undang-undang kecil serta garis panduan berkenaan.
“Saya difahamkan penyediaan dokumen-dokumen penting ini mengambil masa lebih setahun yang melibatkan beberapa siri bengkel, mesyuarat dan perbincangan yang diadakan secara bersemuka dan juga secara dalam talian. Ini memberi indikator bahawa kita semua amat serius dalam memastikan keteraturan dalam proses dan prosedur yang diguna pakai,” katanya.
Di samping itu, beliau juga mengingatkan semua warga Kementerian dan PBT agar sentiasa memberi penekanan kepada memperbaiki sistem sedia ada.
“Pewartaan undang-undang kecil serta penyediaan Garis Panduan ini merupakan antara inisiatif Kementerian untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan PBT serta membantu meningkatkan hasil PBT.
“Saya percaya kita boleh usahakan lebih lagi dalam memperkasakan PBT di Sabah,” katanya.