HomeUtamaKenderaan berat lebih muatan, aliran trafik tinggi punca jalan raya rosak teruk

Kenderaan berat lebih muatan, aliran trafik tinggi punca jalan raya rosak teruk

Read Time:1 Minute, 22 Second

Kinabatangan: Kenderaan berat yang melebihi muatan selain aliran trafik yang tinggi antara situasi yang memburukkan keadaan jalan raya di laluan Kinabatangan – Lahad Datu, di sini hingga mengalami kerosakan teruk.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata,  bebanan kenderaan yang melebihi kapasiti jalan menyebabkan struktur jalan raya mudah rosak, terutama pada musim hujan.

“Saya melihat sendiri banyak keadaan jalan yang agak rosak disebabkan oleh, satu memang faktanya jalan sudah melebihi tempoh had reka bentuk.

“Selepas itu ditambah teruk keadaan hujan yang begitu lebat dan pertambahan aliran trafik dengan beban muatan yang agak tinggi. Jadi  ini sudah tentu mengakibatkan struktur jalan menjadi lemah dan akhirnya rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerosakan Jalan Kinabatangan – Lahad Datu, di sini, semalam.

Laluan berkenaan sebelum ini dilapor dipenuhi banyak lubang akibat kerosakan teruk struktur jalan yang menjejaskan kelancaran lalu lintas hingga tular di media sosial.

Jalan raya di kawasan berkenaan turut digunakan kenderaan berat dari sektor perladangan untuk mengangkut hasil kelapa sawit dari ladang ke kilang di sekitar Kinabatangan, Sandakan dan Lahad Datu.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, bagaimanapun berkata laluan berkenaan bakal dinaik taraf menerusi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dijadual bermula pada Jun depan.

Katanya, sementara menunggu pelaksanaan projek itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan diarah melaksanakan kerja pembaikan dan memastikan keadaan jalan selamat digunakan.

“Kita juga meminta syarikat perladangan dan kilang kelapa sawit terutamanya untuk mematuhi had muatan jalan raya yang ditetapkan.

“Berilah kerjasama sebelum Lebuhraya Pan Borneo siap kelak dan kita juga meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan lebih had muatan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular