Papar : Para pelajar diingatkan untuk sentiasa meletakkan keazaman yang tinggi bagi meningkatkan lagi usaha ke arah kecemerlangan untuk memacu hala tuju sebagai pembina masyarakat pada masa akan datang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, para pelajar juga perlu meningkatkan usaha serta menumpukan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai pelajar.
“Besarlah harapan saya agar semua pelajar yang ada pada hari ini akan menjadi modal insan yang bukan sahaja hebat dari aspek fizikal, namun mantap minda dan luhur pekertinya.
“Hal ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin membangunkan modal insan Madani melalui konsep karamah insaniah.
“Melalui pendidikan yang berteraskan konsep karamah insaniah, pelajar ditekankan untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, menghormati martabat manusia, dan menyumbang kepada masyarakat secara positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi dan Apresiasi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kali ke 10 2023 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kimanis di sini baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Ramlan Awang Ali.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, sebagai graduan lepasan menengah, semua pelajar seharusnya mampu untuk menyatakan sikap, berani mengambil risiko, mampu mengurus perbezaan, cekap membuat pilihan, memiliki ketenangan dalaman, berdaya saing, tidak mementingkan diri, bertindak dengan hikmah bukan emosi dan berperanan di dalam komuniti.
KAtanya, para pelajar juga perlu menjadi contoh yang cemerlang dalam masyarakat, membawa perubahan positif dan inspirasi kepada yang lain.
“Anda perlu yakin dan percaya, setiap daripada kita berhak untuk berjaya dan mengecapi impian. Pasti setiap titik usaha menzahirkan habuan dan ganjaran. Itu adalah pilihan. Insha-Allah ganjaran akan diberikan bagi mereka yang berusaha tanpa berputus asa.
“Harapan saya, graduan sekalian agar terus terus menggapai cita, menggandakan usaha, banggakan ibu bapa serta tanamkan cinta pada bangsa, agama dan negara. Perkasakan jati diri mendepani cabaran. Berbaktilah sebaiknya. Lestarikan harapan menjadi kejayaan,”katanya. – SABAH MEDIA