HomeUtamaFestival Tahun Baru Cina Pitas bakal mendapat pengiktirafan global

Festival Tahun Baru Cina Pitas bakal mendapat pengiktirafan global

Read Time:1 Minute, 51 Second

Pitas: Penganjuran Festival Tahun Baru Cina 2024 peringkat daerah Pitas bakal mendapat pengiktirafan peringkat global.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penganjuran tersebut yang berlangsung selama 16 hari turut membantu ekonomi para peniaga kecil.

“Pada kali ini mereka berusaha untuk mendapat pengiktirafan ‘World King Of Record’ sebagai sambutan terpanjang Festival Tahun Baru Cina yang bermula 9 Februari lepas dan berakhir pada 24 Februari ini.

“Bagi merealisasikan usaha ini, kementerian kita (KKR) menyumbang RM100,000 kepada peniaga kecil bagi menaiktaraf gerai-gerai yang berada di dataran ini sekaligus memberi manfaat masyarakat sekitar Pitas, selain itu secara peribadi juga menyumbangkan RM5,000 kepada acara silat yang saya lihat begitu hebat sehingga mendapat sambutan yang luar biasa.

“Apa yang menarik dengan festival ini ianya disambut oleh pelbagai masyarakat suku kaum dari dalam dan luar Pitas, membuktikan perpaduan dan saling hormat-menghormati antara kaum di Sabah begitu subur sekali dan seharusnya terus diperkukuh dari masa ke semasa, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan festival tersebut di dataran Salimpodon di sini semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya turut mengupas isu jalan raya yang mendapat pelbagai respon masyarakat ketika ini.

“Kita sedia maklum bahawa banyak jalan raya khususnya jalan persekutuan di negeri ini telah melepasi had umur reka bentuknya ditambah dengan kenderaan pengangkut muatan berat yang ada ketikanya melebihi had muatan turut menyumbang kepada risiko kerosakan jalan.

“Permasalahan tersebut telah kita bincangkan dengan pihak-pihak yang terlibat termasuk Kerajaan Persekutuan dimana tindakan yang akan kita laksanakan diperhalusi kewajarannya,” katanya.

Sementara itu Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja mengangkat Pitas ke peringkat global tetapi juga membantu peniaga-peniaga kecil menjana ekonomi.

“Penyampaian sijil dan plat pengiktirafan ‘World King Of Record’ ini akan diadakan pada 24 Februari akan datang disaksikan Ketua Menteri oleh wakil asia selaku ahli dalam pengiktirafan tersebut.

“Bagi membantu peniaga kecil menjana pendapatan kita telah menyediakan tapak, khemah dan elektrik secara percuma kepada mereka sepanjang festival dan kita harap mereka mendapat limpahan rezeki dengan kehadiran beribu pengunjung,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Pitas, Nahalan Medunah, Pengerusi Persatuan Sino KDM, Eng Loi Teck dan Penaung Puspanita Daerah Pitas Datin Seri Asiah Udian. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan GRS-PH Plus angkat martabat rakyat, julang kedaulatan negeri, maju dan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular