HomeUtamaJangan tertipu pakej umrah bawah harga lantai - Nor Azmi

Jangan tertipu pakej umrah bawah harga lantai – Nor Azmi

Read Time:2 Minute, 5 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Orang ramai yang ingin mengerjakan umrah dinasihatkan supaya tidak tertipu dengan tawaran pakej umrah yang murah di bawah harga lantai.

Demikian menurut Pengerusi Pengusaha Agensi Umrah dan Haji Sabah, Nor Azmi Abi Shafian , katanya harga lantai bagi pakej umrah sudah ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) iaitu RM6,900 seorang.

“Memang tidak masuk akal sekiranya ada agen-agen menawarkan pakej umrah di bawah harga lantai sedangkan harga telur, harga barangpun naik, malah ringgit pun jatuh.

“Pakej-pakej yang terlalu murah juga kena berhati-hati juga, itu nasihat kami kepada orang ramai, ada menawarkan pakej umrah RM3,500 memang tidak logik, biasanya harga penerbangan sahaja sudah RM3,500, jadi kita kena fikir untuk pengurusan hotel dan pengangkutan sekali, tidak logik kalau harga di bawah RM6,000, itu yang kita kena fikir,” tegas Nor Azmi ketika ditemui pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung dwi tahunan persatuan itu di sini pada Sabtu.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menasihatkan kepada bakal jemaah selain melihat kepada pakej murah di bawah harga lantai, mereka juga perlu membuat semakan kepada beberapa perkara mengenai kesahihan syarikat pengusaha umrah tersebut.

“Pertama sekali kita kena tahu syarikat pengusaha umrah itu mestilah berdaftar dengan MOTAC dan mempunyai lesen umrah. Kedua, kita kena tengok sama ada syarikat tersebut pernah membawa jemaah umrah atau tidak, kita boleh tengok di laman Facebook, Instagram ataupun layari laman sesawang syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun setakat ini, di Sabah di bawah keahlian kami memang tidak ada lagi kes-kes penipuan seperti ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persatuan itu, Nor Azmi berkata, setakat ini 13 daripada syarikat pengusaha umrah yang terdapat di Sabah menyertai persatuan itu.

Ditanya mengenai usaha untuk menarik pelancong dari Timur Tengah datang ke Sabah, beliau berkata, pemain industri pelancongan di Sabah kena bersedia dengan standard yang tinggi dengan kemasukan pelancong daripada Timur Tengah ke Sabah.

“Setiap pengusaha ini kena bersedia meningkatkan kualiti dari segi keadaan hotel, layanan dan penyediaan makanan-makanan halal.

“Setakat ini data (kemasukan pelancong Timur Tengah) kita terlalu sedikit, kebanyakan pelancong daripada Timur Tengah ini mereka datang ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan beberapa tempat di KL, dan tidak ke Sabah, tetapi sebenarnya di Sabah semua ada little New Zealand, little Maldives… semua ada.

“Kerajaan kena mainkan peranan yang lebih seperti meningkatkan standard lebih baik dari segi industri pelancongan.

“Persatuan ini juga kena bantu kerajaan dalam misi 2026 untuk menarik pelancong dari Timur Tengah, tetapi kami dengan rakan-rakan pelancongan di rantau Arab, kami memang sudah ada hubungan kerjasama itu,” tambah Nor Azmi.

RELATED ARTICLES
Utama

Pengalaman Mengecewakan dengan Fly Pass Syarikat Penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular