HomeUtamaAzalina lancar e-buku kes tuntutan palsu kumpulan Sulu

Azalina lancar e-buku kes tuntutan palsu kumpulan Sulu

Read Time:2 Minute, 16 Second

BERNAMA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said melancarkan buku elektronik (e-buku) Sulu Fraud vs Malaysia’s Truth semalam untuk memperingati pencapaian dan kejayaan Malaysia setakat ini menangkis tuntutan palsu kumpulan Sulu.

Azalina berkata buku itu adalah bagi memberikan gambaran sepintas lalu mengenai penyalahgunaan dan ketidakadilan yang menjejaskan semua rakyat Malaysia, latar belakang sejarah kes, penglibatan (pembiaya litigasi) Therium dan kejayaan penting yang dicapai Malaysia di mahkamah Eropah.

Dia yang baru-baru ini melakukan lawatan kerja ke Brussels, Belgium berkata garis masa kes itu juga dimasukkan ke buku tersebut untuk memetakan kronologi peristiwa dan prosiding perundangan dari sejarah 1878 (penandatanganan sewa oleh penjelajah British) hingga kini.

“Berkenaan perincian dalam e-buku itu, penipuan kumpulan Sulu telah membangkitkan kebimbangan, antaranya kepentingan mendukung etika, integriti, profesionalisme dan amalan baik dalam kalangan penimbang tara antarabangsa, sebagai batu asas kepada timbang tara yang sah.

“Kami melancarkan e-buku ini hari ini (semalam) di Brussels yang merupakan ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU) dan akan diedarkan kepada semua duta di Malaysia dan duta besar Malaysia di seluruh dunia,” kata Azalina dalam ucapannya.

Ahli Parlimen Pengerang itu juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersatu menangkis tuntutan kumpulan Sulu dan membina asas kefahaman dalam perjuangan perundangan sama ada menerusi laman sesawang kes Malaysia-Sulu atau e-buku berkenaan.

Sementara itu, Azalina berkata sabitan jenayah terhadap penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa, yang kini dalam proses rayuan, tidak pernah berlaku sebelum ini dan merupakan satu perkembangan positif.

Dia berkata Putrajaya mengambil maklum kepentingan keputusan mahkamah di Sepanyol dan yakin ia akan menjadi pencegah berkesan kepada tindakan keji oleh pelaku di belakang penipuan kumpulan Sulu.

Azalina berkata keputusan penting itu juga menunjukkan komitmen komuniti perundangan untuk mendukung kedaulatan undang-undang.

Katanya sementara keputusan itu merupakan satu peringatan yang tepat pada masanya kepada golongan penimbang tara, ia juga mendedahkan keadaan yang tidak pernah diterokai terutamanya kawalan terhadap etika profesionalisme penimbang tara.

Menurut Azalina Malaysia juga menggesa satu kajian semula dan pembaharuan segera global untuk menambah baik industri litigasi pihak ketiga berikutan pengalaman negara dalam kes tuntutan kumpulan Sulu yang berprofil tinggi.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkata Azalina dalam lawatan kerja itu bertemu dengan delegasi dari seluruh EU yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perundangan.

Katanya ia bertujuan berkongsi pengetahuan dan meningkatkan kefahaman bersama mengenai sistem perundangan masing-masing.

BHEUU berkata libat urus itu membincangkan perkara mengenai hal ehwal perundangan EU dan memupuk kepekaan terhadap pertikaian undang-undang AS$14.92 bilion yang berterusan antara Malaysia dengan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pewaris kepada Sultan Sulu dalam empat negara anggota EU, termasuk sabitan terkini terhadap Stampa di Sepanyol.

– Bernama

RELATED ARTICLES
Utama

Tangani isu pelanggaran sempadan maritim dengan berhemah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular