Kota Kinabalu: Persatuan Mualaf Muslimah Sabah (PMMS) mensasarkan 200 Kit Ibadah akan diagihkan kepada ahli-ahlinya pada tahun ini.
Pengerusi PMMS, Alisha Zulaikha Azzahra Asok Abdullah berkata, program agihan kit ibadah itu merupakan program yang dirancang dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah sejak dua tahun lalu.
“Meskipun persatuan ini berpusat di Tawau, namun aktiviti yang dijalankan merangkumi hampir seluruh Sabah. Antara yang terdekat adalah sumbangan Kit Ibadah kepada Kelas Bimbingan Saudara Kita (KBSK) di Tamparuli.
“Setakat ini, kita telah mengagihkan hampir 300 kit dalam program dua tahun berturut-turut. Program lain yang telah PMMS jalankan meliputi aspek kekeluargaan, keagamaan dan ekonomi semenjak tahun 2015 dengan kerjasama Hidayah Centre, selain JAKIM bagi membimbing ahli-ahli persatuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu di sini semalam.
Sementara itu, Alisha berkata, pihaknya merancang untuk berkolaborasi dengan Yayasan Nur Jauhar untuk mengagihkan Kit Mualaf Muslimah kepada ahli-ahlinya.
“Pada tahun ini, kita memohon kepada Yayasan Nur Jauhar untuk menyumbang dan mengagihkan kit mualaf muslimah menggantikan kit ibadah,” katanya.
Katanya, sempena bulan Ramadan ini, pihaknya juga merancang untuk mengadakan majlis berbuka puasa, di samping meneruskan program agihan juadah berbuka puasa.
Dengan slogan ‘Memperkasa Mualaf Muslimah Berjaya Dunia Akhirat’, persatuan itu kini dianggotai seramai 300 ahli iaitu saudara baharu pada dan selepas tahun 2000.