HomeUtamaMangsa samun, kerani wanita terima tujuh jahitan di kepala

Mangsa samun, kerani wanita terima tujuh jahitan di kepala

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seorang mangsa kerani wanita menerima tujuh jahitan di kepala selepas ditumbuk dan disamun dalam kejadian di lorong belakang HSBC Bank Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, kejadian berlaku tengahari semalam (15 Feb) semasa mangsa seorang diri dalam perjalanan ke kedai One Stop Premium telah didatangi oleh seorang lelaki dari arah belakang yang terus menutup mulut mangsa dan menjatuhkan mangsa.

“Mangsa telah ditumbuk di muka dan di kepala sehingga mengalami kecederaan. Kemudian lelaki tersebut melarikan diri setelah mengambil dompet mangsa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Kalsom, mangsa berumur 35 tahun itu telah mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan menerima tujuh jahitan di kepala akibat kecederaan yang dialami selepas ditumbuk oleh suspek berkenaan.

Katanya, mangsa juga telah mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM50.00 dan dokumen peribadi.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera dan melakukan rompakan yang membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat,” jelasnya.

Pada sidang media sama, Kalsom turut memaklumkan, satu tangkapan telah dijalankan pada hari sama kejadian jam lebih kurang 7.30 malam ke atas seorang penganggur lelaki berumur 18 tahun bertempat di Bataras Jalan Pantai, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, lelaki tersebut disyaki terlibat dalam kes samun sebelum ini dan semasa tangkapan lelaki tersebut baru sahaja melakukan satu kes curi telefon bimbit ke atas seorang lagi mangsa wanita berumur 36 tahun di Jalan Pantai.

“Semasa suspek itu sedang dikejar oleh orang awam, anggota polis yang sedang menjalankan tugas Ops Payung di Jalan Pantai ada pada masa itu juga turut mengejar dan suspek berjaya ditangkap.

“Hasil soal siasat awal lelaki tersebut mengaku telah terlibat dengan kes samun di belakang Hsbc Bank Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

“Lelaki tersebut telah dibawa mendapatkan reman pada pagi ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Kalsom mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang awam yang membantu pihak polis dalam mencegah jenayah di negeri ini.

“Daripada kes ini kurang 24 jam kita dapat menangkap penjenayah berkenaan yang melakukan dua kes samun dan mencederakan mangsa di bandaraya Kota Kinabalu, justeru itu, kita melihat ini juga adalah disebabkan kerjasama orang ramai dalam membantu pihak polis mencegah jenayah, kita ucapkan terima kasih kepada mereka,”ujarnya.

Kalsom berkata, kes kedua yang dilakukan suspek tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

RELATED ARTICLES
Utama

Aplikasi GoNet mudahkan pengguna buat tempahan fasiliti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular