JIM Sabah: 292 PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Seramai 292 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri Ke-4 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024.

PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal dengan menaiki feri. – Foto ihsan JIM Sabah

Program yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah (JIM Sabah) pada Khamis (22 Feb) melibatkan pemindahan tahanan warganegara Indonesia daripada empat Depot Imigresen Sabah iaitu Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar, Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Tawau seramai 292 orang dengan kerjasama Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu serta Konsul Republik Indonesia (KRI) di Tawau.

Pecahan tahanan yang dipindahkan balik ke negara asal secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka Indonesia pada 22 Februari 2024 terdiri daripada tahanan lelaki (183 orang), perempuan (90 orang), kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (18 orang); dan satu kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.

Bagi purata umur tahanan antara satu tahun sehingga 67 tahun dan kanak-kanak yang terlibat untuk penghantaran pulang kali ini adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Proses pemindahan tahanan dengan iringkawal masuk sehingga ke dalam Feri Purnama Express dan Francis Express.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sh Sitti Saleha, semua agensi penguatkuasaan di Negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah.

“JIM Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *