Tuaran : Lebih 10,000 pengunjung dari pelbagai daerah di negeri ini dijangka akan hadir memeriahkan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024 yang diadakan selama empat hari bermula Ahad ini.
Setiausaha Agung Persatuan Rumpun Bajausama Sabah Datuk Abdul Kassim Razali berkata, festival yang akan berlangsung di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah Kampung Lok Batik di sini itu akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Bagi pihak penganjur festival, kita telah pun bersedia untuk menerima orang ramai untuk hadir ke program ini yang akan bermula Ahad ini sehingga 28 Februari ini yang merupakan acara kemuncak perasmian penutupan.
“Pada tahun ini kita ada membuat sedikit penambahan aktiviti yang boleh disertai oleh orang ramai iaitu seperti bengkel tarian tradisi rumpun Bajausama dan juga bengkel bagi memainkan alat muzik suku kaum Bajausama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk dan pelaksana Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024 di sini hari ini.
Abdul Kassim yang juga pengerusi pelaksana festival berkata, pihaknya telah menyediakan jurulatih-jurulatih yang mahir bagi mengendalikan bengkel-bengkel berkenaan.
“Justeru, kita mempelawa orang ramai untuk hadir ke festival ini. Selain itu kita turut mengadakan pelbagai program lain antaranya Pertandingan Soromas; Pertandingan Ratu Serimpak; Pertandingan Betitik; Sukan Rakyat selain acara perasmian.
“Bagi acara Soromas, ia merupakan pertandingan nyanyian lagu-lagu Bajausama yang melibatkan peserta dari setiap daerah yang mempunyai cawangan persatuan ini di seluruh Sabah.
“Pemenang yang menjuarai pertandingan ini akan berpeluang merakamkan lagu Bajausama. Begitu juga dengan pertandingan Ratu Serimpak yang memperagakan busana Bajau sama atau rumpun Bajau sama,” katanya.
Sementara itu, Abdul Kassim berkata, beberapa persembahan lain akan turut dipersembahkan oleh para peserta yang memenangi pertandingan yang dipertandingkan selain artis terkenal dari Sabah dan Semenanjung.
“Kita juga telah bekerjasama dan bekolaborasi dengan beberapa agensi pelancongan selain pemain industri pelancongan yang ada di Sabah untuk sama-sama membawa para pelancong datang ke festival ini,” katanya. – SABAH MEDIA