Penampang: Kira-kira 1,000 tetamu hadir memeriahkan Sambutan Chap Goh Meh di kediaman Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury, di sini semalam.
Hadir sama memeriahkan sambutan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih.
Limus berkata, acara penutup bagi Tahun Baharu Cina itu merupakan acara tahunan untuk meraikan keluarga, saudara mara serta rakan-rakan yang berbilang kaum serta agama.
“Jemputan untuk majlis hari ini adalah sekitar 1,000 orang termasuk kehadiran Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri dan rakan-rakan serta sanak saudara.
“Kita harap dengan sambutan ini dapat menyuburkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan agama, di samping mendekatkan pemimpin dengan rakyat,” katanya ketika ditemui.
Selain hidangan yang beraneka, para tetamu juga dihiburkan dengan persembahan tarian singa dan naga serta pertunjukan mercun.