Ketua Hakim Syarie Sabah terima watikah pelantikan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

Kota Kinabalu :Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin hari ini menyampaikan watikah pelantikan bagi jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah kepada Ahadin Arinen di Istana Seri Kinabalu di sini pagi tadi.

Turut disampaikan watikah pelantikan kepada dua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah Surayah Ramlee dan Taherah Tahir.

Majlis itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor;  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif  dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.

Ruslan ketika ditemui berharap pelantikan Ketua Hakim Syarie negeri Sabah dan dua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ini dapat melancarkan lagi perbicaraan kes kekeluargaan dan jenayah syariah yang tertangguh sebelum ini.

“Sudah pasti dengan adanya pelantikan Ketua Hakim pada hari ini dapat menjalankan kes-kes yang tertangguh dan dapat melancarkan semua urusan yang telah pun tertangguh selama ini dan ianya dapat memberi kelegaan kepada khususnya mereka yang sedang menunggu untuk dibawa kepada kes masing-masing,” katanya.

Pelantikan Ahadin berkuat kuasa 1 November 2023 dan pelantikan Suraya berkuatkuasa 19 Jun 2023 serta Taherah pula berkuat kuasa 16 Oktober 2023.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Yahya Hussin, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Malaysia, Yang Amat Arif Dato’ Amran Mat Zain dan Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *