KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini, atas pertuduhan memperdaya seorang kontraktor memberikan wang sebanyak RM150,000 untuk projek pembaikan sekolah di Beluran.
Bagaimanapun tertuduh Sidu Edin, 58, yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.
Sidu dituduh melakukan kesalahan itu sebagai balasan bagi mendapatkan projek pembaikan kerja-kerja darurat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan Sugut bernilai RM1.5 juta.
Menurut pertuduhan pada 26 March 2019, jam lebih kurang 8.00 malam di The Palace Hotel, dalam Daerah Kota Kinabalu, dalam Negeri Sabah telah menipu seorang kontraktor dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu mangsa untuk mendapatkan projek pembaikan kerja-kerja darurat di SMK Terusan Sugut bernilai RM1.5 juta.
Tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000.00 kepadanya yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak tidak diperdayakan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama iaitu penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda.
Sidu dibenarkan diikat jamin RM15,000, dengan RM3,000 untuk didepositkan ke mahkamah dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah seterusnya memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali; tidak mengganggu saksi pendakwaan, dan pasportnya diserah kepada mahkamah sementara menunggu kes itu diselesaikan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi. Tertuduh diwakili peguam Mohd Fadzri Azham Zainudin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 2 April depan.