HomeSukanSaya yakin untuk raih dua emas, tapi ini yang termampu - Syahzwan

Saya yakin untuk raih dua emas, tapi ini yang termampu – Syahzwan

Read Time:2 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu : Disebalik kekurangan yang dialami, seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Mohammad Syahzwan William,14, berjaya membuktikan kehebatan apabila meraih pingat emas dalam pertandingan antarabangsa WA State Track & Field Championships 2024 di Perth Australia.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 1 itu meraih pingat emas menerusi acara lontar peluru bawah 15 tahun dengan catatan lontaran sejauh 17.05 meter. 

Selain meraih pingat emas, Syahzwan turut membawa pulang pingat perak menerusi acara lempar cakera bawah 15 tahun dengan catatan lontaran sejauh 48.60 meter pada pertandingan yang berlangsung pada 22 Februari sehingga Ahad lalu.

Mohammad Syahzwan William bersama pingat yang dimenangi

Syahzwan ketika ditemui Sabah Media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi tadi mengakui rasa gembira dengan pencapaian yang dicapai meskipun gagal meraih emas dalam acara lempar cakera.

“Alhamdulillah, ini adalah hasil dari latihan sepanjang tahun yang saya lakukan dengan bantuan jurulatih saya iaitu ‘Coach Paul’.

“Sebenarnya saya memang sudah agak boleh meraih emas di Australia dan yakin dua pingat emas boleh dibawa balik namun disebabkan keadaan sedikit licin, prestasi saya sedikit ‘drop’, hanya perak mampu dibawa pulang menerusi acara lempar cakera,” katanya.

Syahzwan yang tiba di KKIA kira-kira jam 11.25 pagi tadi turut disambut ibunya, Jasaniah Pokni,40, dan ayahnya William Edward,43, serta beberapa guru-guru dari SMK Beaufort 1 dan rakan-rakannya.

Sementara itu, ayahnya, William turut mengakui gembira dan terharu atas kejayaan yang diraih anaknya meskipun hanya mampu membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat perak.

“Sudah tentu sebagai ayahnya, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak atas hasil usaha yang diberikan kepada anak saya selama beberapa tahun ini bagi memastikan kejayaan ini mampu dicapai.

“Minatnya dalam bidang sukan ini sebenarnya mula dilihat pada usia lapan tahun tapi bergiat aktif sejak tahun enam lagi bersama jurulatihnya.  Sudah tentu saya dan ibunya akan terus memberi sokongan kepadanya.

“Sebelum ke Australia, dia sudah sasar untuk dapat emas dalam acara kegemaranya iaitu lontar peluru dan lempar cakera, namun atas faktor cuaca, dia hanya mampu membawa satu pingat emas dan satu pingat perak,” katanya.

Selain Syahzwan, dua lagi atlet Sabah, Randy Ryann Samson dan Nurelfira Umaira Mohd Yusuf masing-masing bersama membawa pingat emas dan perak.

Randy berjaya membawa pulang pingat emas menerusi acara lompat kijang bawah 15 tahun dengan catatan lompatan sejauh 12.75 meter dan pingat perak menerusia acara lompat jauh bawah 15 tahun dengan catatan lompatan sejauh 5.49 meter.

Sementara itu, Nurelfira pula berjaya meraih pingat emas dalam acara 80 meter lari berpagar wanita bawah 14 tahun dengan catatan masa larian 13.10 saat dan pingat perak menerusi acara 200 meter lari berpagar bawah 14 tahun dengan catatan masa 29.93 saat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Isu Pelantikan TYT Sabah: KEADILAN Sabah seru hormati perlembagaan, henti sebar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular