HomeUtamaTPM Bentang Tiga Matlamat Utama Dalam Transformasi Ekonomi Bumiputra

TPM Bentang Tiga Matlamat Utama Dalam Transformasi Ekonomi Bumiputra

Read Time:2 Minute, 37 Second

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai dasar baharu agenda ekonomi Bumiputera.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, TEB menggariskan tiga matlamat iaitu keadilan sosio-ekonomi, kemampanan negara bangsa serta kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, TEB adalah satu dasar baharu yang progresif bertujuan merapatkan jurang sosio-ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia. 

“Jika KEB (Kongres Ekonomi Bumiputera) pertama dan kedua melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), saya suka mengetengahkan cadangan bagi KEB kali ini untuk kita melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera atau TEB sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

“Melalui transformasi ini, kita mahu memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan. 

“Malah ia juga bertujuan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu, di samping turut serta membesarkan kek ekonomi negara,” katanya berucap pada majlis perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Matlamat utama TEB

Ahmad Zahid berkata, tiga matlamat utama itu adalah bagi memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin pembabitan serta hak Bumiputera tetapi pada masa sama mewujudkan kesalingan atau sinergi dengan bukan Bumiputera kerana kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara. 

Katanya, bertitik tolak daripada hasrat DEB yang tidak mahu lagi aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum, tembok terbabit berjaya diruntuhkan apabila kaum Bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, Cina bukan lagi mendominasi gelaran saudagar begitu juga dengan kaum India, tidak lagi berlegar di perladangan. 

“Atas semangat ini, tiga matlamat utama yang digariskan, menuntut semua kaum berganding bahu membangunkan negara. Menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, usaha memartabatkan penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara. 

“Ia juga bagi memadamkan penceritaan ekonomi negara dikuasai kumpulan minoriti, yang tentunya mengundang resah kaum majoriti, dan pada akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial kerana keadaan sebegini tentunya tidak sihat bagi sebuah negara yang melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata, dalam aspek pendidikan, kini tiba masanya untuk memecahkan belenggu pemikiran kalangan Bumiputera bahawa bidang kemahiran bukan pilihan kedua tetapi sebaliknya menjadi pilihan utama industri. 

Memperkasa modal insan melalui bidang kemahiran juga penting bagi mempersiapkan generasi Bumiputera sebagai tenaga kerja yang kompeten untuk bersaing di pasaran buruh semakin kompleks. 

“Dalam soal pemilikan pula, Bumiputera masih belum mencapai tahap pemilikan yang memuaskan dalam kalangan syarikat korporat yang tersenarai di Bursa Malaysia. 

“Ini mungkin berpunca daripada terbatasnya akses kepada pembiayaan dan pendanaan bagi memula atau memperluaskan perniagaan,” katanya. 

Beliau berkata, melalui TEB kerajaan akan terus memastikan peranan agensi amanah Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji akan lebih terkehadapan dalam pengupayaan Bumiputera bagi semua sektor ekonomi. 

“Dengan kita memberikan fokus serta memperkemaskan inisiatif sedia ada, TEB diyakini mampu mengatasi cabaran sosio-ekonomi yang dihadapi dan membuka pintu ke jalan kemajuan lebih luas bagi setiap lapisan masyarakat,” katanya. 

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di PICC bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi Bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemotong rumput luka tembus di lengan kanan, terkena tembakan senjata tiruan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular