HomeUtamaSESB pastikan bekalan elektrik ke Pantai Timur terjamin

SESB pastikan bekalan elektrik ke Pantai Timur terjamin

Read Time:1 Minute, 50 Second

Kota Kinabalu : Kerja-kerja kecemasan bagi membaiki dua buah menara talian 275 kilovolt (kV) yang terletak di Kampung Randagong dan Kampung Nabutan giat dilaksanakan bagi memastikan bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah tidak terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir Ts Mohd Yaakob Hj Jaafar berkata, kerja-kerja itu dilaksanakan selepas pihaknya mendapati terdapat mendapan dan pergerakan tanah yang aktif sekitar tapak menara talian penghantaran.

Katanya, keadaan itu telah menjejaskan kestabilan struktur utama menara berkenaan termasuk bengkok dan patah serta tidak selamat untuk terus digunakan.

“Keadaan di kedua-dua menara ini amat kritikal kepada talian penghantaran Grid 275kV Kolopis – Segaliud iaitu yang terletak di Kampung Randagong Kampung Nabutan kerana kapasiti tenaga sekitar 200 megawatt (MW) perlu disalurkan ke Pantai Timur Sabah setiap hari daripada Pantai Barat Sabah.

“Atas dasar itu, SESB telah mengambil tindakan pantas untuk memasang menara pengalihan sementara iaitu Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di tapak dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Yaakob berkata, sebanyak lapan buah menara ERS akan dipasang di kedua-dua lokasi ini bagi memastikan bekalan tenaga ke Pantai Timur Sabah tidak terjejas.

“Kita telah lantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian tiang menara yang rosak. Kerja-kerja telah bermula Disember lalu tetapi dalam minggu ini keadaan jadi kritikal dimana salah satu menara di Kampung Randagong terputus pada bahagian kaki menara.

“Kita khuatir sekiranya berlaku angin kencang mengakibatkan berlaku tiang runtuh dan pihak kita tidak dapat menyalurkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya bekalan tidak dapat disalurkan ke Pantai Timur, pihaknya terpaksa melakukan catuan bekalan .

“Bagaimanapun di Pantai Timur kita ada set-set penjanaan SESB di Sandakan dan Tawau selain ada beberapa Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) di Serudong dan Libaran.

“Kapasiti penjanaan di Pantai Timur adalah berada pada paras negatif yang mana kita terpaksa menghantar bekalan dari Pantai Barat melalui talian ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yaakob berkata, tempoh pengalihan talian penghantaran ke menara ERS akan siap pada pertengahan Mac ini.

Katanya, pihak SESB kini bertungkus lumus dalam memastikan pemulihan menara 300 (Kampung Randagong) dan 194 (Kampung Nabutan) selain mengelakkan kegagalan kepada rangkaian sistem grid Sabah. – SABAH MEDIA / FOTO SESB

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular