HomeIsu tempatan300 karton minuman keras tidak bercukai dirampas

300 karton minuman keras tidak bercukai dirampas

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu : Sebuah bot kayu dan lori kargo yang sedang menjalankan aktiviti penyeludupan minuman keras tidak bercukai berjaya ditahan di perairan Menumbok malam kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, operasi khas yang dijalankan telah mengesan sebuah bot yang bergerak laju di timur laut Pulau Belangkasan menuju ke Muara Sungai Sarap, Menumbok kira-kira jam 3.30 pagi.

Katanya, dalam keadaan bergelap, bot peronda Maritim Malaysia telah bertindak mengekori bot pancung tersebut sehingga ke tebing Sungai Sarap dan mendapati bot terbabit sedang menjalankan aktiviti pemunggahan barang ke lori kargo.

“Ketika serbuan dibuat, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan meninggalkan bot, lori kargo serta muatan yang dipunggah.  Usaha menjejaki suspek yang berada di lokasi pemunggahan gagal berikutan keadaan gelap dan kawasan berpaya.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan selanjutnya mendapati muatan tersebut berupa minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan kira-kira 300 karton dipercayai cuba diseludup masuk dari Pulau Labuan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Suhaimi berkata, bot kayu dan lori kargo terbabit ditahan bersama muatan barangan dan diiring ke Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (JPDS) kerana membawa barang-barang tidak bercukai dan menggunakan bot tidak berdaftar.

“Nilai rampasan termasuk bot bersama enjin,lori kargo dan muatan dianggarkan lebih RM350,000,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan komuniti setempat mematuhi peruntukan undang-undang di zon maritim negara.

“Orang ramai boleh membuat aduan kecemasan dan menyalurkan maklumat jenayah di sekitar perairan Kota Kinabalu ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan di talian 088-387 774 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO Maritim Malaysia

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular