HomeUtamaTaman-Taman Sabah terus catat kejayaan terbaik dan berkelas antarabangsa

Taman-Taman Sabah terus catat kejayaan terbaik dan berkelas antarabangsa

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu : Taman-Taman Sabah (TTS) terus mencatat kejayaan yang terbaik serta berprestij dan berkelas antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Menteri Pelancongan , Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, ia termasuklah penganugerahan UNESCO Triple Crown; penganugerahan Kinabalu UNESCO Global Geopark dan penganjuran Konferens Antarabangsa iaitu Turtle Islands Heritage Protected Area Joint Management Committee Meeting ke-14.

“Antara kejayaan yang dicapai adalah yang utama, terunggul dan terhebat adalah kejayaan penganugerahan UNESCO Triple Crown. Hanya sebanyak tiga negara sahaja di seluruh dunia yang telah mencapai tahap pengiktirafan tertinggi seumpama ini.

“Selain iitu, TTS turut berjaya dianugerahkan Kinabalu UNESCO Global Geopark oleh Lembaga Eksekutif UNESCO di Paris, Perancis pada 24 Mei 2023 dan penganjuran Konferens Antarabangsa iaitu Turtle Islands Heritage Protected Area Joint Management Committee Meeting ke-14 yang diadakan di Kota Kinabalu pada 10 hingga 11 Julai 2023.

“Tahniah dan syabas atas kejayaan yang berprestij dan berkelas antarabangsa ini,” katanya pada majlis penghargaan Lembaga Pemegang Amanah TTS 2023 di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Peter Lintar dan turut dihadiri Pengarah TTS Dr Maklarin Lakim.

Christina berkata, kawasan perlindungan TTS bukan sahaja menjadi mercu tanda keindahan alam semulajadi namun menjadi tempat masyarakat dan pelancong menikmati keindahan alam semulajadi.

“Dengan menggunakan kerangka dan piawaian antarabangsa seperti pengiktirafan UNESCO dan United Nation Sustainable Development Goals ianya akan menjadi rujukan dan panduan utama yang sangat efektif agar dapat kita mengurus Taman kita secara lebih lestari,” katanya.

Dalam pada itu, Christina berkata, bukan mudah untuk mengurus kawasan TTS yang mempunyai keluasan 1.2 juta hektar.

Ini kerana katanya, terdapat kawasan yang jauh di dalam hutan dan ada kawasan pulau terpencil yang perlu beberapa jam menaiki bot untuk sampai.

“Mengurus dan melindungi kawasan-kawasan ini menelan kos yang tinggi, oleh itu konsep kelestarian perlu selari dengan pengukuhan kewangan  TTS. Hanya dengan sokongan kewangan yang kukuh, barulah kelestarian dapat dicapai.

“Kewangan yang kukuh membolehkan kita melaksanakan lebih banyak program dan projek naiktaraf fasiliti. Saya difahamkan pendapatan TTS pada tahun lalu amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM 54 juta, tidak termasuk geran kerajaan.

“Ini merupakan satu petanda bahawa TTS  berada di dalam laluan betul untuk menjadi sebuah agensi yang Financial Self-Sustaining,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia rakam takziah, simpati pada Iran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular