SANDAKAN: Dua maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 25, Jalan Labuk di sini tengahari tadi. (2 Mac)
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek
Berkata, kemalangan tengahari itu berlaku melibatkan sebuah lori muatan baja dengan sebuah motokar jenis Proton Iswara Aeroback di Batu 25 Jalan Labuk, menghala ke luar bandar Sandakan.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati pada masa kemalangan lori dipandu seorang lelaki berumur 36 tahun bersama penumpangnya iaitu isterinya berumur 38 tahun dan dua anaknya lelakinya berumur lima tahun dan satu tahun bergerak dari Sandakan ke Beluran.
“Manakala Proton Iswara dipandu seorang lelaki berumur 36 tahun bersama enam penumpangnya iaitu isteri dan anak anaknya bergerak dari arah yang sama.
“Tiba di lokasi kejadian, lori tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan, terbalik dan menghempap Proton Iswara yang berada dihadapannya yang dalam keadaan berhenti untuk memasuki simpang di kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Fuad berkata, akibat dari kemalangan itu pemandu lori tersebut dan semua penumpangnya mengalami kecederaan ringan.
“Namun pemandu Proton Iswara dan penumpangnya seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun meninggal di lokasi kejadian, manakala lima lagi penumpangnya mengalami cedera ringan.
“Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.