HomeIsu tempatanPenerbitan buku resepi Tempasuk beri inspirasi daerah lain membukukan masakan tradisional

Penerbitan buku resepi Tempasuk beri inspirasi daerah lain membukukan masakan tradisional

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Penerbitan buku resepi Tempasuk diharap dapat memberikan inspirasi untuk daerah lain membukukan masakan tradisional yang ada di kawasan masing-masing, kata penulis Vinnie Nursyahirah.

Baru-baru ini, dua buah buku resepi tradisional dari Daerah Tempasuk, Kota Belud telah diserahkan kepada Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Fatimah Abdillah untuk rekod dan simpanan perpustakaan.

Dua buku tersebut adalah ‘Buku 57 Resepi Kuih Tradisional Tempasuk Kota Belud Sabah – Siri 2’ dan juga ‘57 Recipes Traditional Delicacies Tempasuk of Kota Belud Sabah Series 1’.

Kedua-dua buku tersebut diterbitkan oleh Persatuan Kebajikan Amal Kasih Kota Belud (PERKASIH) dan ditulis oleh Vinnie Nursyahirah.

“Selepas satu tahun proses penyiapan kedua-dua buku ini, akhirnya penerbitan berjaya direalisasikan sekali lagi selepas kejayaan siri pertama sebelum ini.

“Penyiapan Buku Siri 2 ini mengambil masa yang agak lama disebabkan kekangan masa untuk memberi fokus penulisan disebabkan tuntutan kerja-kerja hakiki yang lain.

“Walau bagaimanapun, dengan tekad yang tinggi akhirnya ‘Buku 57 Resepi Kuih Tradisional Tempasuk Kota Belud Sabah – Siri 2’ telah berjaya diterbitkan.

“Salah satu daripada buku tersebut adalah terjemahan dari Siri 1, bagi memenuhi permintaan dari pelbagai pihak,” kata Vinnie dalam kenyataan media semalam.

Sebanyak 57 resepi-resepi masakan dan kuih tradisional daripada etnik Bajau Samah, Dusun Tindal, Iranun dan juga Rungus yang ada di kawasan Tempasuk Kota Belud telah dimuatkan di dalam kedua-dua buku tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih buat tim Jelajah Dapur Tempasuk dan komuniti Dewan Undangan Negeri Tempasuk atas kesungguhan mereka memberikan sokongan dan kerjasama dalam membantu saya menghimpunkan resepi-resepi kuih tradisional di kawasan masing-masing melalui Program Jelajah Dapur Tempasuk sejak tahun 2021 hingga 2023.

“Terima kasih diucapkan buat Penasihat Akademik Siri 1, Datuk Maimunah Suhaibul dan Penasihat Akademik Siri 2 pensyarah Universiti Malaysia Sabah Ester Lazarus atas segala pandangan dan bimbingan,” katanya.

Menurut Vinnie, penyunting utama buku-buku tersebut ialah Maslijan Abdul Rasad dari Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah, yang banyak membimbingnya bersama Farawati Sabli untuk menerbitkan buku-buku tersebut.

Penerbitan buku-buku tersebut juga telah memberikan ruang kepada anak-anak muda dan graduan untuk berkarya dengan menghasilkan gambar-gambar menarik.

Untuk rekod, sebahagian daripada jualan buku-buku ini akan disalurkan ke tabung kebajikan persatuan bagi membantu golongan yang memerlukan serta menampung kerja-kerja amal.

“Saya juga berharap agar buku ini memberikan inspirasi kepada daerah-daerah lain untuk membukukan resepi-resepi masakan tradisional yang ada di kawasan masing-masing.

“Ini kerana dengan adanya buku-buku terbitan yang memaparkan kepelbagaian dan keunikan seni masakan warisan turun-temurun yang ada di Sabah, kita mampu memperkenal, mempromosi dan seterusnya mengangkat martabat budaya kita melalui seni masakan.

“Pendokumentasian buku ini dalam bentuk buku resepi juga akan membantu memelihara dan melestarikan seni masakan tradisi untuk warisan dan memberi manfaat sebagai bahan rujukan dan panduan.

“Makanan menggambarkan budaya dan identiti sesebuah masyarakat justeru marilah bersama-sama mengenali, memperkenalkan dan memartabatkan masakan tradisional untuk diwarisi oleh generasi pada masa akan datang,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular