HomeUtamaPengurusan sekolah perlu siap sedia termasuk kemungkinan cuaca panas

Pengurusan sekolah perlu siap sedia termasuk kemungkinan cuaca panas

Read Time:1 Minute, 44 Second

Kota Kinabalu : Pengurusan sekolah perlu memastikan para pelajar khususnya di daerah ini menggunakan pakaian yang sesuai pada minggu pertama persekolahan sesi 2024/2025 selain bersesuaian dengan cuaca panas yang melanda pada masa ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu Suhaimi Matshah berkata, pihaknya juga telah memberi taklimat kepada pihak pengurusan sekolah untuk bersiap sedia termasuk kemungkinan cuaca panas.

“Kita telah memberi taklimat kepada semua pengetua dan guru besar berhubung pengoperasian sekolah yang akan bermula pada 11 Mac ini dan saya fikir mereka sudah pasti telah bersedia dengan situasi yang akan berlaku.

“Ini termasuklah kemungkinan cuaca panas dan dari segi pakaian pun kita telah beri taklimat bagaimana pelajar dibenarkan memakai pakaian sesuai dengan keadaan semasa pada minggu pertama persekolahan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan buah kurma yang disumbangkan Penglibatan Ibu Bapa,Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) di sini hari ini.

Hadir sama Focal Person Kebangsaan PIBKS Sabah Mohammad Arif Tun Sakaran.

Suhaimi berkata, tiada kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan diadakan, sebaliknya ia diisi dengan aktiviti yang mewujudkan suasana ceria di sekolah serta penerapan adab dan akhlak.

“Minggu pertama sekolah ia lebih kepada aktiviti seperti pengenalan sekolah dan memang tidak akan diadakan sebarang pengajaran dan pembelajaran (PDP), ia lebih kepada pengoperasian dan juga pengenalan murid kepada sekolah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata dalam minggu pertama, pengurusan sekolah perlu mengalu-alukan kehadiran murid dan pelajar dan memastikan mereka seronok untuk hadir ke sekolah.

“Ini tahun kedua, pendekatan baharu iaitu minggu pertama, tiada pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.

“Minggu pertama dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti menyeronokkan yang bangunkan emosi anak murid serta guru untuk laksana proses pendidikan formal nanti. Guru disaran sambut pelajar dengan ramah,” katanya.

Sesi persekolahan 2024/2025 bagi kumpulan A iaitu sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka pada 10 Mac ini.

Bagi kumpulan B iaitu sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula dibuka bermula 11 Mac ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

2 Anggota Polis Ulu Tiram Terbunuh, Penyerang Ditembak Mati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular