HomeUtamaKerjasama rentas kementerian,parti antara platform terbaik bantu rakyat akar umbi

Kerjasama rentas kementerian,parti antara platform terbaik bantu rakyat akar umbi

Read Time:2 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu: Kerjasama rentas kementerian dan parti antara platform terbaik untuk menyampaikan maklumat  berkaitan fungsi, dasar, peranan, inisiatif dan program-program kementerian kepada rakyat peringkat akar umbi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kolaborasi antara kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan diteruskan untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.

“Kerjasama melibatkan dua pemimpin parti ini juga adalah mesej kepada rakyat bahawa kolaborasi merentasi parti dan kementerian untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat boleh dilaksanakan.

“Pimpinan kementerian dan parti boleh bekerjasama menggunakan kekuatan di kementerian masing-masing demi rakyat Sabah yang selama ini bercakap tentang keperluan pembangunan keusahawanan dan keperluan pembangunan-pembangunan lain.

“Pada saya, jentera parti juga perlu terlibat dalam penyampaian maklumat kementerian kepada masyarakat akar umbi. Sebab itu saya mencadangkan kepada Datuk Arthur (Datuk Arthur Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) untuk memulakan kerjasama ini sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan Madani ditubuhkan dan kita teruskan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kolaborasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan KPKM, di sini, semalam.

Ewon berkata, kerjasama seumpama itu boleh memberikan ruang yang lebih luas kepada rakyat menikmati apa yang disediakan oleh kedua-dua kementerian  berkenaan.

“Saya amat yakin ini adalah satu bentuk kerjasama yang boleh membuka ruang kepada rakyat untuk menikmati hasil penglibatan kami di kementerian masing-masing.

“Dengan melibatkan kedua-dua pimpinan tertinggi parti, pergerakan-pergerakan (Pemuda, Wanita dan Belia) boleh menjadi jentera penyampai maklumat kementerian kepada rakyat akar umbi di kawasan masing-masing.

“Ada yang mengatakan kerjasama mahu diteruskan tetapi saya mengharapkan lebih daripada itu dan sebagai Presiden UPKO, kerjasama itu perlu terjemahan dengan jelas agar rakyat betul-betul dapat merasainya,” katanya.

Sementara itu Arthur menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama antara KUSKOP dan KPKM dapat diteruskan.

“Saya yakin ini bukan penghujungnya tetapi akan menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak lagi usaha yang kita akan lipatgandakan bersama untuk membawa balik kepada rakyat Sabah.

“Kami sama-sama berbincang bagaimana menggunakan platform yang ada untuk  membantu rakyat Sabah khususnya yang kami wakili,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu dimulakan sejak tahun lalu apabila Datuk Ewon melawat kawasan Pensiangan dan membantu usahawan di kawasan itu.

“Saya sendiri telah membalas lawatan itu dengan mengadakan lawatan di  Parlimen Penampang untuk membantu beberapa petani moden di bawah kapasiti saya ketika itu di Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

“Maka sekarang, apabila saya dipindahkan ke kementerian pertanian, kita sekali lagi berbincang bagaimana menggunakan platform yang ada untuk melengkapkan keperluan rakyat melalui kedua-dua kementerian.

“Saya melihat ini satu kolobarasi yang sangat sesuai diantara kementerian saya dengan KUSKOP di mana kita memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dalam bidang pertanian dan keusahawanan seterusnya membantu mereka meluaskan pasaran melalui sokongan kedua-dua kementerian,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KKM sasar sifar kes kusta menjelang 2030

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular