HomeUtamaPeruntukan tambahan RM100 juta dipohon atasi masalah air di Sabah

Peruntukan tambahan RM100 juta dipohon atasi masalah air di Sabah

Read Time:1 Minute, 20 Second

Kuala Lumpur : Sebanyak RM300 juta sudah diluluskan secara pinjaman bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, empat projek baharu juga sudah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di negeri itu.

“Kementerian juga sedang memohon penyelarasan semula kos kepada Kementerian Ekonomi bagi tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri.

“Bagi memastikan projek yang diluluskan itu dilaksanakan, pihak kementerian akan melakukan pemantauan secara berkala  dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Sabah boleh memohon di bawah Rolling Plan akan datang berdasarkan projek dan keperluan bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah.

Dalam pada itu, bagi menjawab soalan tambahan Bung Moktar mengenai usaha kerajaan untuk membantu penyelesaian isu tersebut secara menyeluruh, Fadillah berkata tumpuan peruntukan kerajaan ketika ini lebih menjurus kepada kerja-kerja pembaikan dan penggantian paip air.

“Sebab Sabah ini, satu daripada cabarannya adalah air tidak terhasil (NRW) yang agak tinggi, lebih 50 peratus, sebab itu keutamaan kita adalah menggantikan paip yang mana kita akan berikan secara geran dan laksana secara bersama dengan Sabah.

“Ini diharapkan dapat mengurangkan NRW tetapi pada masa sama, Sabah sendiri kena ambil tindakan untuk mengurangkan NRW khususnya air yang dicuri dari sumber air bekalan air Sabah sendiri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KKM sasar sifar kes kusta menjelang 2030

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular