HomeUtamaProgram WeHelp bantu bangunkan modal insan di Sabah

Program WeHelp bantu bangunkan modal insan di Sabah

Read Time:2 Minute, 10 Second

Tuaran : Program WeHelp Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) turut membantu usaha kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan modal insan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sudah pasti melalui inisiatif program itu, penyaluran bantuan yang bersasar pasti dapat memberi impak yang positif kepada yang menerima.

“Saya berharap penyerahan bantuan ini bagi tahun 2024 akan mencapai objektifnya dan mampu memberi implikasi positif kepada golongan sasaran yang akhirnya dapat menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong setiap usaha Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berpendidikan dan berkemahiran di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran Program WeHelp, Penyerahan Bantuan Cermin Mata, Beg Sekolah Murid dan Cek Cura Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Terbuka SMK Badin Tuaran, di sini semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya.

Hajiji berkata, program seperti ini amat penting untuk membantu pembangunan pendidikan anak-anak selaras dengan teras kedua Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang merujuk kepada modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Sudah pasti usaha gigih dan iltizam melalui inisiatif Program WeHelp JPNS ini, setiap anak murid di negeri ini dapat dibantu mengikut keperluan masing-masing berdasarkan pemprofilan yang diperolehi melalui tinjauan keperluan murid,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan prihatin akan keadaan hidup seluruh rakyat, termasuk pendidikan anak-anak Sabah terutama golongan B40.

Ini kerana katanya, mereka adalah modal insan yang akan menyambung agenda kerajaan menerusi Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.

“Sebab itu, kerajaan negeri telah menyediakan beberapa program bantuan pendidikan murid sekolah antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA).

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri daripada hanya RM50 juta kepada RM101 juta setahun. Ini bagi memastikan lebih ramai anak-anak Sabah yang berkelayakan, berpeluang memperoleh biasiswa dalam usaha mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Semua bantuan ini bukan saja telah memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan miskin dan B40, tetapi juga untuk memastikan tiada anak-anak yang terpinggir daripada mendapat peluang pendidikan di negeri ini,” katanya.

Katanya, langkah ini sejajar dengan inisiatif melahirkan lebih ramai golongan yang berpendidikan dan pembangunan modal insan sebagaimana yang terkandung di dalam matlamat Dasar Hala Tuju SMJ berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang bantuan kepada murid-murid di negeri ini seperti Pusat Zakat Sabah; Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah. – SABAH MEDIA / FOTO FB JASNIH DAYA

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular