HomeUtamaDua pelancong maut terlibat kemalangan jalan raya

Dua pelancong maut terlibat kemalangan jalan raya

Read Time:1 Minute, 46 Second

SEMPORNA: Dua pelancong warga asing maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 21 Jalan Semporna – Tawau petang tadi (11 Mac).

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pada jam lebih kurang 3.30 petang itu, satu kemalangan maut telah berlaku di Kilometer 21 Jalan Semporna – Tawau melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori treler, van persiaran dan lori box.

“Pelanggaran berlaku disebabkan oleh lori treler yang hilang kawalan telah makan jalan dan masuk ke lorong bertentangan jalan sebelah kanan lalu berlanggar dengan van persiaran dari arah depan dengan muatan penumpang seramai lima orang warga Singapura dan seorang warga vietnam dalam lingkungan umur 11 hingga 71 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Farhan, akibat daripada pelanggaran itu serpihan kemalangan terbang ke cermin hadapan lori box yang berada di belakang lori treler mengakibatkan cermin hadapan lori box tersebut pecah.

“Pemandu lori treler dan lori box tidak mengalami kecederaan namun seorang orang penumpang lelaki warga Singapura dan seorang penumpang wanita warga Vietnam masing-masing lingkungan umur 60-an dan 40-an disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu serta empat orang lagi penumpang warga Singapura dalam van persiaran mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler warga tempatan berumur 29 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada dua puluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit disabit kesalahan.

“Kepada sesiapa yang ada sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Semporna Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021, dan di talian 089-782020 balai polis semporna atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menasihatkan kepada semua pengguna jalanraya supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati di kawasan kerap berlaku kemalangan.

Turut berada di lokasi kejadian sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS, JHEAINS digesa bincang, kajian bina kuarters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular