HomeUtamaWartawan Bernama Sandakan meninggal dunia

Wartawan Bernama Sandakan meninggal dunia

Read Time:1 Minute, 13 Second

BERNAMA

Sandakan :  Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur Adika Bujang, 45, ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Taman Perumahan IJM, Batu 6 di sini tengah hari tadi.

Ibunya Nafsiah Bubin ketika dihubungi, mengesahkan pemergian Allahyarham dan reda dengan perkara itu.

“Allahyarham anak yang baik dan selalu membantu keluarga,” katanya yang turut memberitahu jenazah akan dibawa untuk dikebumikan di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin yang mewakili seluruh warga Bernama, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Nur Adika.

“Kami terkejut dengan berita pemergian Allahyarham dan mendoakan agar roh dicucuri rahmat Allah.

“Bernama akan membantu keluarga Allahyarham dalam urusan membawa pulang jenazahnya ke Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata Nur Adika merupakan petugas yang cemerlang dengan penulisan dwibahasa dan kreatif, ia terbukti dengan tiga kali penganugerahan iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2014 dan 2020 serta menerima Merit Hiburan Budaya dan Seni (Penyiaran) 2023.

Nur Adika telah berkhidmat dengan Bernama sebagai wartawan hampir 20 tahun sejak 31 Okt 2005 dan pada 1 Jan 2019 beliau dilantik sebagai Pewarta Sandakan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Severinus Sainkui berkata Nur Adika ditemukan meninggal dunia di dalam bilik tandas di kediamannya di Taman Perumahan IJM, Batu 6 di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.10 tengah hari dan kemudiannya menemukan mangsa di tingkat dua kediamannya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular