HomeUtamaPembangkang burukkan SMJ kerana takut

Pembangkang burukkan SMJ kerana takut

Read Time:2 Minute, 32 Second

Beaufort: Pemimpin pembangkang yang menjadikan Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai sasaran kritikan dan modal politik disifatkan takut terhadap slogan itu lalu mencari jalan untuk memburukkannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan memperkenalkan pelan pembangunan SMJ bersempena slogan pada jata negeri untuk mengajak rakyat bersama-sama membangunkan Sabah.

Bagaimanapun, katanya pembangkang tidak menyukai slogan itu yang diambil untuk menaikkan semangat rakyat Sabah supaya menyokong usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi membawa pembangunan di negeri ini.

“Banyak program yang kita sudah laksanakan walaupun berdepan dengan banyak cabaran sejak mengambil alih tampuk kerajaan negeri.

“Kita susun bagus-bagus hinggalah kita dapat perkenalkan Pelan Pembangunan SMJ, tapi itupun dihentam siang dan malam walaupun itu cuma slogan pada jata negeri.

“Sarawak ada slogannya, Sarawak Maju Makmur, begitu juga negeri lain di Semenanjung, semua ada slogan, tapi di Sabah pembangkang takut dengan slogan SMJ.

“Slogan ini (SMJ) baik iaitu ia mahu mengajak rakyat kita untuk maju dan sama-sama memajukan negeri kita, tapi mereka (pembangkang) tidak mahu ada slogan ini, mereka hanya mahu cerita politik siang dan malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Klias, di Masjid Daerah Beaufort di sini petang tadi.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat  berkata, SMJ adalah slogan yang baik untuk menaikkan semangat rakyat, namun perkara yang baik itu tidak disenangi pembangkang.

“Mereka (pembangkang) hanya mahu supaya rakyat mengikut fikiran mereka yang tidak betul itu. Jadi, kita tidak mahu benarkan mereka ini untuk kembali memerintah negeri,” katanya.

Beliau turut mengulangi harapannya agar rakyat negeri ini, khususnya ahli Gagasan Rakyat supaya sentiasa bersatu padu untuk menghadapi apa saja cabaran dan fitnah yang dilempar pelbagai pihak untuk memburukkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan Plus (GRS-PH Plus).

Katanya, walaupun berdepan cabaran yang tidak putus-putus termasuk didakwa sebagai kerajaan yang gagal, kerajaan negeri pimpinannya tetap fokus terhadap kebajikan dan usaha meningkatkan ekonomi rakyat serta negeri.

“Jadi, pada  bulan yang mulia ini kita kukuhkan kerjasama dan perpaduan di antara kita, janganlah kita layan sangat perkara remeh yang diitimbulkan pihak lawan.

“Kita akui banyak yang masih perlu dilakukan untuk rakyat, sama ada air elektrik dan lain lain lagi tapi kita komited untuk menyelesaikan semua isu ini.

“Kita ada perancangan dan insyaAllah dalam masa tidak lama lagi kita dapat selesaikan semua isu ini. Kita ada peruntukan untuk menyelesaikan masalah loji atau paip air yang diwarisi daripada kerajaan dulu,” katanya.

Hajiji berkata, pemimpin kerajaan sebelum ini hanya pandai bercakap politik, berbeza dengan pemimpin dalam kerajaan hari ini yang bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Sementara itu, Hajiji turut menyatakan harapannya agar momentum persefahaman dan kerjasama di antara Gagasan Rakyat dengan rakan parti komponen dalam GRS dan PH serta mereka yang menyokong kerajaan dapat terus dikekalkan.

“Kita mahu bersatu hati bangunkan Sabah, kita ketinggalan sebab kita banyak bergaduh, hari-hari berpolitik, jadi lambatlah kita membangun,” katanya.

Katanya, beliau sedar menjadi sasaran fitnah dan pelbagai tuduhan dilemparkan pihak lawan, namun menganggapnya sebagai cabaran politik yang perlu dihadapi dengan melakukan kerja yang terbaik untuk rakyat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular