HomeUtama58,080 KIR terjejas kemarau terima bekalan air

58,080 KIR terjejas kemarau terima bekalan air

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mahu agensi berkaitan mengagihkan bekalan air kepada 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) merangkumi 355 buah kampung dalam 12 daerah di seluruh Sabah yang terjejas akibat kemarau berpanjangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi tujuan itu, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk.

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari 2024 dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Antara daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

Hajiji berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering dilaksanakan bermula esok hingga 30 Mac ini.

Katanya, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan.

Menurutnya, kos akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal.

Tambahnya lagi, untuk tujuan itu juga, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM267,444 kepada JBPM untuk kegunaan jabatan itu membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.

“Sehingga kini, JBPM telah mengerahkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah. Kerajaan Negeri turut berjanji untuk memberi bantuan kepada jabatan itu bagi mengawal kebakaran,” katanya.

Antara peralatan itu termasuklah 27 pam mudah alih; 75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api dan pencakar api.

Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 9,392.23 ekar di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, kira-kira 8.55 ekar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang masih belum dapat dibendung sepenuhnya. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular