HomeUtamaJBPM Sabah fokus usaha pemadaman di Tapak Pelupusan Sampah Kayu Madang

JBPM Sabah fokus usaha pemadaman di Tapak Pelupusan Sampah Kayu Madang

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Daerah Tuaran masih merekodkan kawasan kebakaran yang belum dipadamkan sepenuhnya akibat kebakaran terbuka yang direkodkan setakat hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Abdul Razak Muda berkata, pihaknya kini memberi fokus utama kepada usaha memadam kebakaran di kawasan Tapak Pelupusan Sampah Kayu Madang seluas 8.5 ekar.

“Kami bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan mereka telah membekalkan peralatan ‘Heavy Machine’ seperti lori serta excavator untuk mengangkut tanah berhampiran dan menimbus tayar yang sedang terbakar.

“Operasi ini sudah berjalan selama dua hari, semalam kami dapat 406 ‘trip’ menggunakan 26 buah lori dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan apabila dihentikan, kami menyambung menggunakan operasi pemadaman dengan pemadam buih dan pam berkuasa tinggi (hydro-sub pump) yang boleh ambil sejauh 1.3 km.

“Walaupun keluasannya dilihat masih lagi kecil iaitu seluas 8.5 ekar tetapi kesannya kepada penduduk setempat dan kawasan industri berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan kepada JBPM Sabah  di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan penyerahan cek cura kepada JBPM sebanyak RM267,444  untuk pembelian peralatan tambahan yang diserahkan oleh Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Ag. Sahari kepada Razak.

Abdul Razak berkata, pihaknya akan sedaya upaya untuk memadam kebakaran di kawasan berkenaan selain berharap penduduk terjejas akibat kebakaran turut bersabar.

“Saya berharap penduduk terjejas akibat kebakaran di Tuaran ini bersabar, bagi sedikit masa lagi dan kami sedaya upaya memadam kebakaran tersebut,”katanya.

Dalam pada itu Abdul Razak turut memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut membekukan cuti anggota JBPM untuk memberi tumpuan usaha-usaha memadam kebakaran. 

“Secara keseluruhannya, anggota JBPM di Sabah lebih kurang 1,088 orang termasuk pasukan bomba sukarela. Pasukan sukarela kita ada lebih kurang 48 pasukan dengan anggaran seramai 1,200 orang,” katanya.

Berdasarkan laporan JBPM hari ini, kumulatif kebakaran di Sabah kini mencatatkan 9,392.23 ekar dengan 9,313.79 telah dipadamkan sementara 8.55 ekar di Kayu Madang masih dalam usaha pemadaman. –SABAH MEDIA / FOTO JAPEN Sabah

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular