HomeUtamaJIM Sabah: 386 PATI warga Indonesia dihantar pulang

JIM Sabah: 386 PATI warga Indonesia dihantar pulang

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah (JIM Sabah) menghantar pulang seramai 386 warga Indonesia menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri Ke-6 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 pada Selasa.

Program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Indonesia daripada empat Depot Imigresen Sabah iaitu Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau dengan kerjasama Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu serta Konsul Republik Indonesia (KRI) di Tawau.

Kesemua tahanan yang dihantar pulang terdiri daripada 291 orang lelaki, 72 orang perempuan, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah seramai 22 orang dan seorang kanak-kanak berumur 23 bulan.

Manakala purata umur tahanan adalah dari satu tahun sehingga 82 tahun dan kanak-kanak yang terlibat untuk penghantaran pulang kali ini adalah bersama ibu bapa/ penjaga masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sehubungan dengan itu beliau turut menegaskan bahawa semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah.

“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya