HomeUtamaESSCOM komited angkat semula imej ESS Zone sebagai kawasan kesejahteraan

ESSCOM komited angkat semula imej ESS Zone sebagai kawasan kesejahteraan

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kinabatangan : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited untuk mengangkat semula imej Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya telah mengangkat cadangan kepada Kerajaan untuk menukar peta ESS Zone yang kini menggunakan warna merah kepada putih.

Katanya, ia termasuklah cadangan untuk menamakan kawasan ESS Zone sebagai kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan pantai Timur Sabah adalah selamat untuk semua.

“Selain itu, di pihak ESSCOM juga kita berusaha memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESS Zone,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sesi libat urus ESSCOM bersama komuniti ESS Zone daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag di sini.

Sesi libat urus yang dihadiri kira-kira 300 orang warga daerah Kinabatangan itu adalah bagi meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone Sabah.

Selain itu, program itu juga adalah bagi menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan tersebut serta mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone Sabah atau memansuhkan perintah tersebut secara menyeluruh atau hybrid.

Kajian itu akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan tersebut sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya.

Justeru, Victor mengajak warga Kinabatangan yang hadir ke sesi libat urus itu supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESS Zone Sabah sebaik mungkin agar kajian yang dijalankan mendapat hasil yang komprehensif demi manfaat bukan sahaja negeri Sabah tetapi Malaysia amnya.

Terdahulu, semasa menyampaikan ucapan aluan, Pegawai Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki mengingatkan warga Kinabatangan bahawa tugas menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia dan bukan hanya  terletak di bahu pihak keselamatan semata-mata.

Selain Kinabatangan, kajian PKP ESS Zone Sabah yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri, diselaraskan oleh ESSCOM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah turut diadakan di lima lagi daerah terlibat PKP ESS Zone Sabah iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu.

Turut diadakan semasa libat urus penyampaian sumbangan kepada 50 orang golongan asnaf dari sekitar daerah Kinabatangan sempena bulan Ramadan. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya