HomeUtamaSabah catat peningkatan 1.67 peratus dalam STAM 2023

Sabah catat peningkatan 1.67 peratus dalam STAM 2023

Read Time:1 Minute, 52 Second

Papar : Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Sabah menunjukkan peningkatan sebanyak 1.67 peratus.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, peningkatan itu adalah berdasarkan perbandingan peratusan 58.49 peratus berbanding 56.82 peratus pada tahun sebelumnya dengan lulus sekurang-kurangnya mendapat sijil gred Maqbul (Lulus).

“Pada tahun lalu seramai 84 calon telah menduduki STAM berbanding 132 orang dengan penurunan seramai 48 orang pada tahun 2022.

“Daripada jumlah tersebut, seorang calon STAM 2023 di Sabah lulus cemerlang dengan mendapat sijil iaitu gred Mumtaz (Cemerlang) manakala 10 orang calon memperoleh gred Jayyid Jiddan (Sangat Baik),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STAM 2023 bagi negeri Sabah di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah, di sini semalam.

Teks pengumuman keputusan STAM 2023 disampaikan oleh Timbalan Pengarahnya, Mohd Zaini Yanin.

Raisin berkata, semua calon STAM 2023 di Sabah telah mengambil sebanyak 10 mata pelajaran dengan bidang Bahasa Arab, mata pelajaran ‘Arudh dan Qafiah’ mencatat 100 peratus kelulusan.

Katanya, 10 mata pelajaran yang diambil itu adalah Bahasa Arab Insya dan Mutalaah, Bahasa Arab Nahu dan Sarf, Bahasa Arab Adab dan Nusus, Bahasa Arab Arudh dan Qafiyah, Bahasa Arab Balaghah, Usuluddin Hifz Al-Quran dan Tajwid, Usuluddin Tafsir dan Ulumuhu, Usuluddin Tauhid dan Mantiq, Syariah Hadith dan Mustolah serta Syariah Fiqh.

“Berdasarkan pencapaian itu, Sabah merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) yang lebih rendah (lebih baik) dalam STAM 2023 iaitu 3.30 berbanding 3.32 pada STAM 2022.

“Sekolah terbaik STAM 2023 di Sabah adalah Sekolah Menengah (SM) Islamiah Tawau dan SMAN Islamiah Papar manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau dinobat sebagai PPD terbaik dengan pencapaian 2.40 peratus iaitu melepasi GPN negeri,” katanya.

Terdahulu, 11 pelajar cemerlang STAM 2023 Sabah iaitu tiga pelajar SM Islamiah Tawau, Farizana Nur Haziyah Daud, Siti Nur Najihah Hazirah Nazarul Akmal dan Dayang Nur Qasdina Yunus.

Manakala lapan pelajar SMAN Toh Puan Hajah Rahmah iaitu Faris Harzan Ramdan, Mohammad Zawawi Ahadin, Mohammad Aiman Ariff Aripin, Mohammad A’ydiel Farhan Ali, Muhammad Aqif Fitri Mohd Rafisyam, Nur Sabrina Ali, Amyra Efno Abas dan Nur Farahin Ashikin Mohd Zain turut menerima sijil pengiktirafan daripada JPNS.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPNS, Indang Kasi Sibin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Siti Hamni Hashim.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular