HomeIsu tempatanFSMP UMS kongsi kepakaran bagi perkasa menu makanan pesakit Disfagia

FSMP UMS kongsi kepakaran bagi perkasa menu makanan pesakit Disfagia

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) telah mengadakan satu kerjasama bersama Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Negeri Sabah dalam berkongsi kepakaran bagi memperkasa hidangan menu makanan bagi pesakit disfagia.

Pensyarah Program Perkhidmatan Makanan FSMP, Dr. Aizul Azri Azizan dalam satu kenyataan menerangkan bahawa risiko disfagia, satu keadaan apabila pesakit mengalami gangguan menelan disebabkan faktor-faktor seperti penuaan, strok, kanser dan lain-lain, banyak dilaporkan dalam kalangan warga tua di negara ini.

“Ini sekali gus menjadikan Malaysia berisiko dengan keadaan disfagia memandangkan jangkaan 20 peratus daripada jumlah penduduk menjelang tahun 2056 adalah terdiri daripada warga tua.

“Justeru, melalui kerjasama ini, UMS dan Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Negeri Sabah akan memperkasakan menu disfagia berpandukan kerangka kerja International Dysphagia Diet Standardization Innitiatives (IDDSI) iaitu panduan penyediaan dengan kaedah pengujian yang digunakan banyak negara di dunia dalam pengurusan pesakit disfagia.

“Usaha tersebut juga adalah bagi memastikan menu yang disediakan di hospital selari dengan intervensi dan preskripsi klinikal yang diberikan dari penilaian yang dijalankan oleh pakar perubatan dan pakar pemulihan pertuturan (speech therapist),” katanya dalam kenyataan bersempena dengan lawatan Jabatan Dietetik dan Sajian Negeri Sabah ke FSMP baru-baru ini.

Tambah Aizul, melalui jaringan kerjasama antara akademik dan industri itu, perkongsian sumber dan kepakaran berkaitan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan makanan kesihatan melalui penyediaan diet disfagia patuh IDDSI di hospital-hospital seluruh Sabah.

“Pelaksaaan IDDSI ini belum pernah dilaksanakan di mana-mana fasiliti kesihatan di Malaysia sekali gus menjadikan usaha ini sebagai satu anjakan dalam pengurusan disfagia negara.

“Justeru, FSMP UMS amat berbesar hati untuk terus menyumbang dan berkolaborasi dengan Jabatan Dietetik dan Sajian melalui perkongsian kepakaran dan sumber untuk pelaksanaan IDDSI di semua hospital negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kepakaran Dietetik dan Sajian, Norafizah Mohd Nordin berkata pelaksanaan IDDSI di negeri Sabah menunjukkan komitmen perkhidmatan makanan kesihatan negeri dalam membantu meningkatkan pengambilan pemakanan pesakit di hospital, selain turut memastikan tekstur makanan yang disediakan selamat dimakan oleh pesakit sebagaimana berdasarkan keperluan klinikal.

“Usaha kerjasama ini juga bagi meningkatkan kemahiran penyedia makanan di hospital-hospital kerajaan untuk merancang menyedia diet yang mematuhi spesifikasi IDDSI.

“Sisa pinggan tinggi untuk menu pesakit disfagia, contohnya diet puri sehingga mencapai 68 peratus dalam kajian terdahulu menunjukkan isu ini perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan rawatan melalui pemakanan pesakit disfagia dapat diperbaiki,” ujar beliau.

Hadir sama dalam lawatan kerja tersebut Ketua-Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian, Pegawai Dietetik dan Penolong Pegawai Perkhidmatan Makanan bagi zon pantai barat dan pantai timur negeri Sabah. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK serah enam projek pelajar kepada Komuniti Kg Lokub

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular